
OSLO, Norway: Puteri Mahkota Norway, Mette-Marit, 52, yang menghidap penyakit paru-paru kronik, dijangka perlu menjalani pemindahan paru-paru susulan “kemerosotan jelas.” menurut istana semalam.
“Kita semakin menghampiri masa yang mana pemindahan paru-paru mesti dijalankan, dan kami sedang membuat persiapan supaya ia dapat dilakukan apabila tiba masanya,” kata Are Martin Holm, ketua perubatan pulmonari di Hospital Universiti Oslo, dalam kenyataan istana.
Puteri itu mengumumkan pada Oktober 2018 bahawa beliau didiagnosis menghidap fibrosis pulmonari yang jarang berlaku, satu penyakit tidak dapat disembuhkan menyebabkan parut pada paru-paru dan sesak nafas.

“Belum diputuskan bila puteri mahkota akan dimasukkan ke senarai menunggu untuk pemindahan paru-paru,” kata Holm.
Atas kondisi kesihatannya, puteri itu kadang-kadang terpaksa menghadkan penampilan awam dan mengambil cuti sakit, terkini pada Oktober.
“Musim luruh ini, beberapa ujian menunjukkan kemerosotan jelas dalam kesihatan puteri mahkota,” kata istana.
Beliau dijangka terus menjalankan tugas awam selagi berasa cukup sihat. – AFP