
SIBU: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak akan melaksanakan Ops Krismas bermula hari ini hingga 28 Disember bersempena musim perayaan Krismas dan cuti sekolah, dengan memberi tumpuan khusus kepada aspek keselamatan pengangkutan awam, khususnya bas ekspres.
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Sarawak Norizan Jili berkata, operasi berkenaan memfokuskan kawasan yang kerap berlaku kemalangan, namun pada tahun ini penekanan utama diberikan kepada pemeriksaan di terminal-terminal bas utama di Sarawak iaitu di Kuching, Sibu dan Miri.
Menurutnya, antara pemeriksaan utama yang dijalankan melibatkan sistem brek serta keadaan bunga tayar bagi memastikan setiap bas berada dalam keadaan selamat sebelum dibenarkan memulakan perjalanan.
“Pemeriksaan ini amat penting bagi memastikan keselamatan penumpang sentiasa terjamin, terutamanya ketika peningkatan pergerakan sempena musim perayaan,” katanya kepada pemberita pada Meluncur Ops Khas Krismas di Terminal Bas Sibu, Jalan Pahlawan, di sini sebentar tadi.
Dalam pada itu, katanya,JPJ turut menjalinkan kerjasama strategik bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan mewajibkan semua pemandu bas menjalani ujian saringan air kencing (strip test) sepanjang tempoh operasi.
“Sekiranya didapati positif, pemandu terbabit akan digantikan serta-merta oleh syarikat pengendali. Kerajaan serius dalam menjaga keselamatan dan nyawa penumpang bas,” tegasnya.
Beliau turut menggesa orang ramai, khususnya penumpang bas, supaya menjadi mata dan telinga pihak berkuasa dengan menyalurkan maklumat sekiranya mengesan pemandu memandu secara berbahaya, menggunakan telefon bimbit atau memandu melebihi had laju.
“Pihak JPJ dan PDRM tidak mampu berada di semua lokasi pada setiap masa, justeru kerjasama penumpang amat diperlukan. Laporan akan diambil tindakan segera,” katanya.
Selain itu, JPJ juga melaksanakan operasi penyamaran di dalam bas. Penumpang yang didapati tidak memakai tali pinggang keledar akan dikenakan tindakan saman tanpa kompromi.
“Kita telah banyak menjalankan advokasi sebelum ini. Kali ini, jika gagal mematuhi peraturan, saman akan terus dikeluarkan. Sayang wang saman itu, sepatutnya boleh digunakan untuk sambutan Krismas,” ujarnya.
Ops Krismas ini merupakan sebahagian daripada kempen keselamatan jalan raya bagi memastikan perjalanan orang ramai sepanjang musim perayaan berlangsung dengan selamat dan lancar.
Turut hadir, Pengarah Kanan Penguatkuasa JPJ, Dato’ Muhammad Kifli Ma Hassan, Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Zulkipli Suhaili.
Oleh Akun Giman