
LUBOK ANTU: Gangguan bekalan air tidak berjadual yang menjejaskan seluruh kawasan Daerah Lubok Antu pada Khamis berjaya ditangani selepas kerja-kerja baik pulih paip utama bersaiz 500 milimeter jenis HDPE di Pasar Lubok Antu disiapkan sepenuhnya oleh kontraktor yang dilantik Jabatan Bekalan Air Luar Bandar (JBALB).
JBALB dalam makluman terkini memaklumkan bahawa bekalan air telah dibuka semula kepada para pengguna, namun proses pemulihan bekalan akan berlaku secara berperingkat, khususnya bagi kawasan yang berada di kedudukan hujung rangkaian atau ‘end point’.
Menurut kenyataan itu, proses pembilasan ‘flushing’ turut dilaksanakan bagi mengurangkan kesan penyaluran air keruh kepada para pengguna susulan gangguan yang berlaku akibat kebocoran paip utama berkenaan.

“Kerja-kerja baik pulih paip 500 milimeter jenis HDPE di Pasar Lubok Antu telah siap sepenuhnya dan bekalan air telah dibuka semula. Walau bagaimanapun, pemulihan bekalan akan mengambil sedikit masa terutama bagi kawasan hujung rangkaian,” menurut kenyataan tersebut.
Sehubungan itu, JBALB Sarawak memohon maaf atas segala kesulitan yang dialami oleh para pengguna sepanjang tempoh gangguan berkenaan serta merakamkan penghargaan atas kesabaran dan kerjasama yang diberikan.
Orang ramai yang mempunyai sebarang pertanyaan atau aduan berkaitan bekalan air boleh menghubungi Pusat Panggilan JBALB Sarawak di talian 082-262211 yang beroperasi 24 jam atau Bilik Gerakan Operasi JBALB Bahagian Sri Aman di talian 083-323240 pada waktu pejabat dari 8.00 pagi hingga 5.00 petang.