

Kejadian tanah susur yang berlaku di Jalan Entayau, dipercayai akibat hujan lebat berterusan sepanjang malam. Foto: APM Lubok Antu
LUBOK ANTU: Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) Daerah Lubok Antu bertindak pantas susulan kejadian tanah susur yang berlaku di Jalan Entayau, dipercayai akibat hujan lebat berterusan sepanjang malam.
Kejadian berlaku di laluan menuju ke Rumah Panjang Stengin, menimbulkan risiko keselamatan kepada pengguna jalan raya serta penduduk setempat, terutama dalam keadaan cuaca yang tidak menentu.
Menurut kenyataan APM Lubok Antu, lima anggota telah digerakkan ke lokasi sejurus menerima laporan bagi menjalankan pemantauan dan tindakan awal keselamatan.
Pemeriksaan di lokasi mendapati tebing jalan mengalami rekahan serius dengan kawasan terjejas sepanjang kira-kira 10 meter, manakala kedalaman tanah yang runtuh dianggarkan mencecah 50 kaki.
Sebagai langkah pencegahan awal, pita amaran telah dipasang di kawasan berisiko bagi mengelakkan sebarang kejadian tidak diingini.


Kejadian tanah susur yang berlaku di Jalan Entayau, dipercayai akibat hujan lebat berterusan sepanjang malam. Foto: APM Lubok Antu
APM menegaskan bahawa setakat ini keadaan di lokasi dilaporkan selamat dan terkawal, dengan pemantauan berterusan dilakukan bagi memastikan keselamatan penduduk.
Pihak berkuasa menasihatkan orang awam agar sentiasa berwaspada, terutamanya ketika melalui kawasan berisiko, dan segera melaporkan sebarang perubahan atau kejadian kecemasan kepada APM.
Kejadian ini menjadi peringatan bahawa cuaca ekstrem boleh menjejaskan keselamatan awam, dan tindakan proaktif pihak berkuasa seperti APM adalah kritikal untuk mencegah kemalangan atau kerosakan lebih besar.
Oleh Adi Safarman