
LIMBANG: Komuniti Penan di kawasan Long Napir, Hulu Limbang bakal menikmati kemudahan dewan serba guna lengkap apabila fasa kedua projek berkenaan sedang giat dilaksanakan dengan peruntukan RM350,000 di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP).
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Batu Danau, Dato Paulus Palu Gumbang, berkata projek tersebut adalah sebahagian daripada usaha berterusan kerajaan negeri memperkukuh infrastruktur masyarakat luar bandar.
“Fasa pertama dewan Long Napir telah siap dengan kos RM200,000, manakala sambungan fasa kedua bernilai RM150,000 kini sedang berjalan. Selain itu, jalan masuk ke Kampung Long Napir juga akan dibina tahun depan di bawah peruntukan Konsesi Hutan,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Majlis Penyerahan Sumbangan CSR 2025 sempena sambutan Hari Natal oleh Lee Ling Timber Sdn Bhd kepada komuniti Kelabit, Penan dan Iban di Dewan Kampung Bunga Raya, di sini.
Paulus menambah, kemudahan dewan itu bukan sahaja menyediakan ruang serbaguna untuk aktiviti sosial dan pembangunan insan, malah menjadi pemangkin semangat perpaduan desa, gotong-royong serta jalinan komuniti yang lebih erat.
Selain itu, projek Klinik Long Napir yang dinanti penduduk Penan telah dibentangkan dalam Persidangan Dewan Undangan Negeri baru-baru ini dan diharap dapat direalisasikan tahun depan.
Kini, Limbang mempunyai lebih 800 penduduk Penan yang mendiami kira-kira sembilan perkampungan kecil.
Paulus turut memuji usaha berterusan Lee Ling Timber melaksanakan program CSR untuk komuniti luar bandar, yang menurutnya memberi sinar keceriaan sempena Krismas dan meringankan beban masyarakat.
Beliau menggesa lebih banyak syarikat besar, termasuk yang terlibat dalam projek Rangkaian Jalan Raya Sarawak Sabah (SSLR) dan Lebuh Raya Pesisir Utara (NCH), agar mencontohi inisiatif CSR tersebut.
Turut hadir Pengurus Syarikat Lee Ling Timber Sdn Bhd, Kenneth Chieng Siong Woo.
Oleh Adeng Edrus