KUCHING: Sarawak akhirnya bakal menerima pembayaran Cukai Jualan Negeri (SST) daripada Petroliam Nasional Berhad (Petronas) pada hari ini.
Berdasarkan surat jemputan untuk liputan media daripada Pejabat Ketua Menteri semalam, Ketua Menteri Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dijadual akan menerima cek bayaran tunggakan SST itu daripada Petronas pada satu majlis dan sidang media khas pada jam 4.00 petang ini bertempat di Wisma Bapa Malaysia, di sini.
Ini menunjukkan bahawa usaha Sarawak untuk menuntut kembali haknya ke atas sumber minyak dan gasnya telah melakar kejayaan yang membanggakan di bawah pimpinan kerajaan Gabungan Parti Sarawak (GPS).
Untuk rekod pada 13 September, Menteri Muda Undang-Undang, Hubungan Kerajaan Persekutuan dan Negeri dan Pemantauan Projek Datuk Sharifah Hasidah Aman Ghazali berkata Petronas dijangka membayar lebih RM2 bilion untuk cukai jualan dan perkhidmatan bagi produk minyak dan gas kepada kerajaan negeri pada hujung bulan ini.
Menurut Hasidah, jumlah keseluruhan SST yang perlu dijelaskan kepada kerajaan negeri adalah termasuk penalti dan faedah.
Tambah Sharifah Hasidah lagi, hanya Petronas sahaja dianggarkan melebihi RM2 billion tuntutannya tidak termasuk syarikat minyak dan gas lain seperti Murphy dan Shell.
Pada Januari 2019, Kerajaan Negeri melaksanakan SST lima peratus ke atas petroleum di bawah Ordinan Cukai Jualan Negeri 1998, bagaimanapun syarikat itu enggan membayar dengan alasan ia tidak berperlembagaan, dan seterusnya kerajaan negeri mengambil tindakan undang-undang ke atas Petronas.
Seterusnya pada 3 Ogos lalu di Mahkamah Rayuan, Petronas menarik balik rayuannya terhadap keputusan mahkamah menolak permohonannya bagi semakan kehakiman terhadap Kerajaan Sarawak dan Pengawal Cukai Jualan Negeri Sarawak berhubung isu cukai jualan berjumlah RM2 bilion.
Pada masa yang sama Kerajaan Sarawak turut menarik balik rayuan balasnya berhubung isu bidang kuasa Mahkamah Tinggi ke atas Cukai Jualan negeri.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Kanan Kerja Raya Datuk Seri Fadillah Yusof pada 12 September mendedahkan bahawa jawatankuasa Perjanjian Malaysia 1963 (MA63) akan mengadakan mesyuarat ketiga hari ini di Kuching.