KUCHING: Seramai 20 penunggang skuter Vespa menyertai Konvoi Kembara Vespa Kuching-Kabong-Sibu-Mukah-Bintulu sempena sambutan Hari Malaysia 2020 yang bermula dari Jalan Matang Baru di Bulatan Temenggung Abang Kipali Abang Akip, di sini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sadong Jaya Aidel Lariwoo berkata, program ini adalah program daripada Kelab Skuter Besi Rider yang sebenarnya ditubuhkan oleh belia luar bandar yang membawanya ke kawasan Kuching.
“Jadi untuk hari ini, kelab-kelab vespa lama ini akan membuat jelajah sempena Hari Malaysia ke Sibu dan Bintulu,Kuching,” katanya ketika ditanya pemberita pada Konvoi Kembara Vespa Kuching-Kabong-Sibu-Mukah-Bintulu di kawasan tempat letak kereta Jalan Matang Baru berdekatan bulatan Temenggung Abang Kipali Abang Akip, di sini, semalam.
Beliau memberitahu, mereka memulakan perjalanan semalam dan harapan beliau sudah tentunya dengan penglibatan belia ini ke kelab khususnya seperti ini adalah sesuatu yang sungguh menguja sekali kerana skuter Vespa Lama ini bukannya senang nak dicari apatah lagi memulihkannya dalam keadaan yang dapat diguna seperti yang dilakukan oleh mereka.
Ujar Aidel, sempena Hari Malaysia bersama-samalah mengingati perjuangan kemerdekaan dan Hari Malaysia ini akan mengingatkan rakyat untuk menyemai jati diri sebagai warganegara Malaysia iaitu ke arah Malaysia lebih progresif dan makmur.
Sementara itu, penyelia program Kelab Skuter Besi Rider, Ellfizan Paukan berkata, program ini diadakan sempena sambutan Hari Malaysia dimana mereka mahu meningkat semangat rider terutama sekali dalam kalangan skuter Vespa rider.
“Sesiapa yang ada skuter Vespa, kita mahu mengangkat balik semangat ini supaya mereka mahu turut serta dalam kembara ini iaitu konvoi ke Sibu, Bintulu kemudian kembali ke Kuching dengan menaiki skuter Vespa,” katanya.
Ellfizan memberitahu, setakat Ini mereka ada dalam lebih kurang 20 peserta yang terlibat dalam kembara ini dan akan berjumpa dengan kumpulan skuter Vespa di Bintulu dan juga di Sibu.
“Oleh itu, hari ini kita akan berangkat ke Sibu dulu dan bermalam semalam di Sibu sempena sambutan Hari Malaysia di Sibu. Kemudian keesokannya kita pergi ke Bintulu.
“Semua perjalanan kita hari ini akan melalui jalan pesisir pantai dan tidak menggunakan jalan utama,” ujarnya.
Menurutnya, program ini adalah kali kedua dan mereka pernah mengadakan pada dua tahun lepas, cuma bilangan peserta tidak ramai iaitu dalam enam orang.
“Tetapi kali ini ada ramai peserta dimana kita kira mencipta sejarah iaitu 20 skuter melibatkan anak-anak muda dan anak-anak tempatan. Ia adalah selama lima hari perjalanan pergi dan balik.
“Kelab ini ditubuh sejak tahun 2013 tetapi tidak secara rasmi dan apabila kita tengok semangat mereka semakin membara kita angkat balik semangat ini melalui program-program begini,” katanya.
Oleh Cheryl Law