SIBU: Kerajaan Persekutuan di bawah Perikatan Nasional (PN) sentiasa memberikan keutamaan kepada pembangunan di negeri Sarawak dan Sabah.
Perdana Menteri, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berkata, baru-baru ini beliau telah mengumumkan pelan infrastrukur digital iaitu Jalinan Digital Negara atau JENDELA yang akan dimasukkan dalam Rancangan Malaysia ke-12.
“Inisiatif ini adalah selaras dengan komitmen Kerajaan PN untuk memastikan tiada warganegara yang ketinggalan dalam mengecapi nikmat pembangunan.
“Ini termasuk penduduk di Sabah dan Sarawak yang kita ketahui sebahagian besarnya agak ketinggalan dari segi memperolehi akses kepada capaian internet berkelajuan tinggi,” jelasnya semasa berucap pada sambutan Hari Malaysia 2020 di Stadium Tertutup Sibu, malam tadi.
Perdana Menteri memberitahu, pelan JENDELA adalah hasil kerjasama strategik antara Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM), Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) dan agensi-agensi berkaitan bersama pihak penyedia perkhidmatan komunikasi utama.
“Pelan ini merangkumi penambahbaikan komunikasi digital negara secara berfasa dengan fasa Pertama telah bermula dengan usaha memperluaskan liputan jalur lebar mudah alih 4G daripada 91.8 peratus kepada 96.9 peratus di kawasan berpenduduk serta membolehkan 7.5 juta premis mendapat akses kepada jalur lebar talian tetap berkelajuan gigabit,” ujarnya.
Katanya, 3G juga akan ditamatkan secara berperingkat sehingga akhir tahun 2021 bagi memantapkan rangkaian 4G serta memperkukuh asas bagi rangkaian 5G.
“Fasa kedua iaitu peralihan kepada rangkaian 5G akan menyusul selepas tamatnya fasa pertama. Pastinya penduduk Sabah dan Sarawak adalah antara yang bakal menerima manfaat daripada pelaksanaan pelan ini.
“Di Sabah, sebanyak 35 menara baharu dan 1,048 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial bagi meningkatkan liputan 4G.
“Di Sarawak pula, sebanyak 49 menara baharu dan 825 alat pemancar komunikasi di menara sedia ada akan dinaik taraf secara komersial,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Persekutuan akan terus memantau kemajuan pelaksanaan pelan ini secara menyeluruh.
“Saya yakin dengan adanya sokongan padu dan kerjasama erat antara Kementerian, agensi yang berkaitan dan Kerajaan Negeri, pelan JENDELA ini pastinya akan mendatangkan banyak faedah kepada rakyat,” ujarnya lagi.
Majlis tersebut diserikan lagi dengan kehadiran Tuan Yang Terutama Yang Dipertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Haji Abdul Taib Mahmud dan Toh Puan Datuk Patinggi Hajjah Raghad Kurdi Taib.
Turut hadir Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg dan Datuk Amar Hajjah Juma’ani Tun Tuanku Haji Bujang.
Menteri Undang-undang dan Hal Ehwal Anak Negeri, Dato’Aidi Haji Moktar yang mewakili Ketua Menteri Sabah, Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah serta Barisan Jemaah Menteri Persekutuan dan Negeri Sarawak.