AKUN GIMAN
SIBU: Suri rumah berputih mata selepas mengalami kerugian RM2,150 akibat ditipu oleh sendiket penipuan Macau Scam semalam.
Ketua Polis Daerah Sibu, ACP Stanley Jonathan Ringgit berkata, kejadian bermula apabila pengadu,39, menerima panggilan telefon dari seorang perempuan yang memperkenalkan diri sebagai “Ketua Operasi Lembaga Hasil Dalam Negeri” (LHDN).
“Pengadu diberitahu bahawa nama serta nombor kad pengenalannya telah didaftarkan atas sebuah syarikat dan terdapat tunggakan bayaran cukai sebanyak RM38,600.90 ,” jelasnya ketika dihubungi oleh pemberita petang semalam.
Katanya, pengadu diarahkan menunggu di talian untuk disambung ke Ibu Pejabat Polis Kuantan bagi membuat semakan nombor kad pengenalan.
“Apabila panggilan tersebut disambungkan, pengadu telah diberitahu oleh seorang “pegawai polis” namanya telah disenarai hitam kerana terdapat tunggakan cukai yang belum dijelaskan,” ujarnya.
Katanya lagi, pengadu sekali lagi diminta menunggu di talian untuk disambungkan ke Bank Negara untuk membuat aduan.
“Apabila panggilan disambungkan, seorang ‘pegawai’ memberitahu boleh membantu pengadu tetapi pengadu perlu memasukkan wang RM2,150 ke dalam akaun bank yang diberikan.
“Sekitar jam 3.20 petang semalam, pengadu telah melakukan transaksi pemindahan wang di mesin ATM salah sebuah bank Jalan Kampung Nyabor ke dalam akaun yang diberikan.
“Selepas memindahkan wang tersebut, pengadu baru sedar bahawa dia telah ditipu oleh sindiket penipuan atas talian dan terus membuat laporan polis,” ujarnya lagi.
Katanya, modus operandi suspek memperdayakan pengadu untuk memasukkan wang ke akaun yang diberikan dengan menyamar sebagai pegawai LHDN dan Pegawai Bank Negara.
“Kes disiasat di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan,” tegasnya.