
MIRI: Pihak Hospital Miri sedang menjejaki waris atau ahli keluarga seorang lelaki berusia 72 tahun, Chan Chang Wah, yang meninggal dunia di hospital baru-baru ini.
Menurut kenyataan Hospital Miri yang dimuat naik di Facebook hari ini, kad pengenalan mendiang bernombor 531115-13-XXXX dengan alamat di No. 21B, Jalan Huo Ping, 96000 Sibu, Sarawak.
Alamat terakhir mendiang adalah di Warehouse Taman Tunku.
“Mendiang mendapatkan rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma pada 1 Disember 2025 5:54 petang, dimasukkan ke Wad Pembedahan Lelaki (Wad 7B) pada 2 Disember 2025 dan meninggal dunia pada 10 Disember 2025 3:33 petang,” menurut kenyataan itu.
Sehingga kini, pihak hospital masih belum menerima sebarang maklumat daripada waris atau sesiapa yang mengenali mendiang.
Hospital Miri menggesa waris atau sesiapa yang mempunyai maklumat untuk menghubungi Jabatan Perubatan Forensik di talian 085-460600 pada waktu pejabat (Isnin hingga Jumaat) dengan segera.
Oleh Liong Chai Ling