ADENG IDRUS
LAWAS: Keperihatinan berbagai pihak terhadap petugas barisan hadapan sepanjang arahan PKP di Daerah Lawas adalah amat membanggakan.
Selain sumbangan kepada petugas beruniform, sumbangan turut diberi kepada pasukan barisan hadapan Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari.
Pemilik perniagaan Nasi Bujang Lawas Kr Awangku Bahar Pengiran Jini telah tampil menyumbang makanan dan minuman untuk petugas barisan hadapan Parti PBB Bukit Sari.
Menurutnya, beliau amat tersentuh dengan rakan dalam pasukan ini yang sepanjang PKP telah meredah hujan dan panas tanpa menghiraukan keselamatan diri semata-mata untuk menyampaikan bantuan makanan kepada penduduk di daerah Lawas sejak PKP pertama hingga sekarang.
Pasukan Pusat Khidmat Parti PBB Cawangan Bukit Sari ini diketuai oleh Setiausaha Parti PBB Cawangan Bukit Sari Awang@Ibrahim bin Ahmat.
Mereka ini menerima arahan secara langsung daripada Timbalan Ketua Menteri merangkap ADUN Bukit Sari Datuk Amar Haji Awang Tengah Ali Hassan dan Ahli MKT Parti PBB Sarawak Kr Awangku Jinal Abidin Pengiran Haji Jawa.
Laporan pergerakan harian dan jumlah sumbangan disalurkan terus kepada Awang Tengah untuk makluman.
Ini kerana Awang Tengah mahu memastikan semua penduduk di Lawas mempunyai bekalan makanan sepanjang arahan PKP dikuatkuasakan.
Beliau juga mahu memastikan segala bantuan sampai kepada semua keluarga tanpa mengira fahaman politik atau latar belakang.
Ini bukan masa untuk berpolitik tetapi masa untuk memastikan rakyat di akar umbi dapat menyediakan makanan kepada keluarga setiap hari.