

MUKAH: Jambatan Kuning Mukah tidak mengalami sebarang kerosakan struktur selepas satu insiden membabitkan sebuah tongkang sarat muatan arang batu gagal melepasi bawah jambatan berkenaan baru-baru ini.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tellian, Royston Valentine berkata, tindakan kurang bijak yang tidak memikirkan akibat dari pengusaha tongkang berkenaan telah menimbulkan kegusaran orang ramai.
“Penduduk Mukah digemparkan dengan satu video tular, sebuah kapal tunda yang menunda tongkang arang batu cuba untuk melepasi Jambatan Kuning Mukah tetapi gagal atas sebab keadaan air sungai sedang pasang besar tambahan pula dengan muatan tongkang yang penuh.
“Demi keselamatan orang ramai, saya terus memaklumkan berkaitan insiden ini kepada pihak Jabatan Kerja Raya (JKR) Mukah, PJP Barisan (SP) Sdn. Bhd dan Lembaga Sungai Sarawak,” ujarnya dalam satu kenyataan.
Jelasnya, menurut laporan awal yang diterima daripada Jurutera Bahagian JKR Mukah (DE JKR) hasil pemeriksaan oleh pasukan JKR bersama PJP Barisan Sdn. Bhd. (SP) mendapati tiada tanda-tanda kegagalan struktur pada jambatan tersebut.
“Ini bermakna Jambatan Kuning Mukah disahkan selamat dilalui dan operasinya berjalan seperti biasa,” katanya.

Pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak turut hadir semasa pemeriksaan dilakukan dan telah mengenal pasti tongkang serta kapal tunda yang terlibat.
“Menurut agensi itu, tindakan susulan akan diambil terhadap pengendali vessel berkenaan, manakala laporan polis juga telah dibuat berhubung insiden tersebut.
“JKR Mukah memaklumkan bahawa pihaknya akan mendapatkan bantuan lanjut daripada SP bagi melaksanakan pemeriksaan menyeluruh terhadap struktur Jambatan Kuning sebagai langkah keselamatan tambahan,” katanya lagi.
Dalam pada itu, Royston turut menzahirkan penghargaan kepada JKR Mukah, PJP Barisan dan Lembaga Sungai-Sungai Sarawak atas tindakan pantas dalam membuat penilaian awal bagi memastikan keselamatan pengguna jambatan sentiasa terjamin.
Oleh Tarani Lanting