

SIMANGGANG: Sebanyak enam projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) dengan jumlah keseluruhan RM750,000 bakal dilaksanakan di kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Simanggang, selaras usaha kerajaan Sarawak memperkukuh pembangunan infrastruktur luar bandar.
Timbalan Menteri Pendidikan, Inovasi dan Pembangunan Bakat, Datuk Francis Harden Hollis berkata peruntukan itu merupakan komitmen berterusan kerajaan negeri di bawah pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) dalam menyediakan kemudahan yang lebih baik kepada masyarakat pedalaman.
Beliau berkata demikian ketika hadir pada Program Penyerahan Tapak Projek RTP oleh Majlis Daerah Sri Aman sebagai agensi pelaksana di beberapa lokasi projek sekitar DUN Simanggang, dekat sini semalam.
Menurut Harden yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Simanggang, keenam-enam projek tersebut melibatkan pelbagai keperluan rakyat, termasuk menaik taraf rumah panjang, sistem perparitan, jalan kampung serta penyediaan kemudahan sukan dan lampu solar.
Antara projek yang dilaksanakan ialah naik taraf Rumah Simon Chelaring di Kampung Radau, Ulu Undop bernilai RM50,000; naik taraf Rumah Siti Joni, Kampung Paku Ulu, Undop bernilai RM250,000; serta pemasangan lampu solar jalan di Rumah Sanggau Nyuwai, Kampung Sungai Reboh, Undop dengan peruntukan RM100,000.
Turut dilaksanakan ialah naik taraf jalan dan sistem perparitan Rumah Chembol Tagai, Kampung Tinting Kubal Entebar bernilai RM100,000; naik taraf Gelanggang Sepak Takraw Rumah Julia Bayang, Kampung Sengkuang Ulu, Undop bernilai RM150,000; dan naik taraf Balai Raya Rumah Encharang Dingin, Kampung Klassen Sekula, Undop bernilai RM100,000.
Harden berkata, kesemua projek yang bakal dilaksanakan tersebut dijangka memberi manfaat langsung kepada penduduk, sekali gus meningkatkan aspek keselamatan, keselesaan serta pembangunan sosial masyarakat setempat.
Dalam pada itu, beliau mengingatkan tuai rumah selaku pengerusi Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) untuk menjelaskan kepada penduduk mengenai sumber peruntukan yang disalurkan oleh wakil rakyat GPS, serta menyeru agar sokongan kepada kerajaan negeri diteruskan.
“Kerajaan GPS sentiasa membuktikan komitmennya dalam membela nasib rakyat dan memastikan pembangunan luar bandar terus dipacu secara terancang,” katanya.
Oleh Adi Safarman