Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • NASIONAL
  • Agong rasmi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, sebak kenang Almarhum Tunku Abdul Jalil
  • NASIONAL

Agong rasmi Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor, sebak kenang Almarhum Tunku Abdul Jalil

Utusan Sarawak 1 hour ago
YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim sebak ketika menonton montaj khas memperingati pemergian Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim akibat kanser hati pada Majlis Perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di sini hari ini. Foto BERNAMA

JOHOR BAHRU: Suasana hiba menyelubungi majlis perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di Larkin hari ini apabila Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim, dilihat sebak ketika menonton montaj khas memperingati anakanda baginda, Almarhum Tunku Abdul Jalil Sultan Ibrahim.

Tayangan itu mengimbau kembali detik-detik kegembiraan dan kasih sayang Almarhum bersama Seri Paduka Baginda serta kerabat diraja, bersempena genap 10 tahun pemergian Almarhum akibat kanser hati.

Almarhum Tunku Abdul Jalil mangkat pada 5 Disember 2015 di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru, pada usia 25 tahun akibat kanser hati tahap empat yang dihidapi sejak akhir 2014.

YANG di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengatakan sesuatu dengan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah ketika berangkat pada Majlis Perasmian Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor di sini hari ini. Turut berangkat Pemangku Sultan Johor, Tunku Mahkota Ismail (empat, kanan) dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor. Foto BERNAMA

Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor yang dirasmikan hari ini terletak berhadapan Perpustakaan Sultan Ismail dan menawarkan fasiliti perubatan termasuk Positron Emission Tomography (PET) CT Scanner, Linear Accelerator, Cyclotron, Theranostics dan Terapi Gen.

Keberangkatan tiba Seri Paduka Baginda pada 8.57 pagi diiringi Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah, Pemangku Sultan Johor Tunku Mahkota Ismail, dan Che’ Puan Mahkota Khaleeda Johor.

Turut berangkat ialah Tunku Putera Johor Tunku Abu Bakar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Panglima Johor Tunku Abdul Rahman Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim, Tunku Temenggong Johor Tunku Idris Iskandar Al-Haj Ibni Sultan Ibrahim. Hadir sama Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi.

PERASMIAN Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor disempurnakan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar hari ini. Foto BERNAMA

“Dengan ini, saya merasmikan pelancaran Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor,” titah Sultan Ibrahim ketika merasmikan pusat perubatan itu.

Majlis dimulakan dengan ucapan oleh Pengarah Hospital Tunku Laksamana Johor  Dr William Chong, yang memaklumkan pusat rawatan itu didedikasikan untuk semua lapisan masyarakat bagi mendapatkan rawatan terbaik.

“Kami komited dan berikrar untuk menyediakan perkhidmatan perubatan maju kepada semua lapisan masyarakat, khususnya Bangsa Johor. Kami tidak akan mengabaikan isi rumah berpendapatan rendah dan akan menyediakan masa, ruang serta sumber yang mencukupi untuk membantu semua penduduk di negeri ini,” katanya.

Menurut beliau Hospital Tunku Laksamana Johor akan dilengkapi dengan mesin khas siklotron baharu bagi manfaat rakyat, sambil memastikan komitmen terhadap golongan berpendapatan rendah, dengan menyediakan masa, ruang dan sumber mencukupi untuk mereka.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor, Ling Tian Soon, berkata perasmian pusat berkenaan menjadi detik penting kepada usaha memperkasa sektor perubatan negeri itu sekali gus merancakkan pelancongan perubatan Johor.

Majlis perasmian turut disempurnakan dengan pelancaran logo Pusat Kanser Tunku Laksamana Johor dan penandatanganan plak perasmian.- Bernama

Continue Reading

Previous: PM rakam takziah, kenang Bung Moktar sebagai tokoh tegas dan berpendirian
Next: Zizie Izette kongsi sisi murni arwah suami

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.