

KUCHING: Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) memperkukuh kerjasama dengan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam usaha membendung jenayah komersil yang semakin membimbangkan, susulan kunjungan hormat Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (JSJK) ke pejabat MBKS hari ini.
Menurut kenyataan media MBKS, kunjungan tersebut diketuai Timbalan Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersil (Siasatan/Perundangan), Superintenden Mohd Syafiq Jinuin Abdullah, dan diterima Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng, bersama Timbalan Datuk Bandar, Dato Zaiedi Suhaili, serta pegawai kanan MBKS.
Katanya, pertemuan itu menjadi platform penting bagi kedua-dua pihak membincangkan isu mendesak yang memberi kesan terus kepada masyarakat termasuk peningkatan kes penipuan dalam talian, aktiviti pengubahan wang haram serta lambakan iklan sindiket penipuan yang dipasang di sekitar bandar.
Menurut Dato Wee dalam kenyataan tersebut, isu jenayah komersil kini memerlukan pendekatan holistik dan kerjasama erat pihak berkuasa tempatan bersama polis.
“Melindungi komuniti kita daripada penipuan dan aktiviti scam memerlukan kerjasama kukuh. MBKS menghargai usaha proaktif pihak polis dan kami komited bekerjasama dalam kempen kesedaran awam bagi meningkatkan keselamatan masyarakat,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Sesi itu turut membincangkan trend terkini jenayah komersil serta cadangan strategi bersama, termasuk langkah pencegahan, pendidikan masyarakat dan tindakan menyeluruh untuk menghalang orang awam daripada menjadi mangsa.
Pertemuan berakhir dengan persefahaman untuk memperkukuh komunikasi, penyelarasan dan penglibatan awam antara kedua-dua pihak demi kesejahteraan penduduk Kuching Selatan.