Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • DUN: Sarawak bersiap pertahan gelaran juara SUKMA, perkemas pembangunan atlet dan jurulatih
  • SUKAN

DUN: Sarawak bersiap pertahan gelaran juara SUKMA, perkemas pembangunan atlet dan jurulatih

Utusan Sarawak 4 hours ago
DATO Sri Abdul Karim Rahman Hamzah bercakap menyampaikan ucapan penggulungan perbahasan kementeriannya pada Persidangan DUN ke-19 hari ini. Foto UKAS 

PETRA JAYA: Sarawak kini giat mempersiapkan pasukan bagi mempertahankan gelaran juara keseluruhan pada Sukan Malaysia (SUKMA) XXII Selangor 2026, yang dijadual berlangsung dari 15 hingga 24 Ogos 2026 melibatkan 37 acara sukan di sembilan daerah seluruh Selangor.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan, Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata persediaan awal sangat penting bagi memastikan kontinjen Sarawak mengekalkan penguasaan setelah muncul juara keseluruhan pada edisi terdahulu.

“Sarawak telah memulakan persediaan rapi dengan menghantar atlet ke 22 kejohanan peringkat negeri, 83 kejohanan kebangsaan dan 37 kejohanan antarabangsa. 

“Langkah ini memastikan atlet dalam senarai panjang memenuhi syarat kelayakan dan kekal bersedia menghadapi pertandingan berintensiti tinggi,” katanya. 

Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan Kementerian  Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan pada Persidangan DUN ke-19 di sini hari ini.

Abdul Karim berkata, Sarawak melalui Perbadanan Sukan Sarawak (SSC) dan Majlis Sukan Negeri Sarawak (MSNS) terus memperkukuh kedudukan negeri sebagai kuasa besar sukan negara melalui pembangunan atlet, jurulatih dan sistem sokongan yang lebih tersusun.

Menurutnya, sukan berprestasi tinggi dikenal pasti sebagai keutamaan di seluruh negeri, disokong oleh program pencarian bakat di peringkat sekolah dan kelab, latihan intensif, pendedahan kompetitif, serta penambahbaikan berterusan terhadap Sistem Pengurusan Sukan Bersepadu (IGMS) bagi memastikan pengurusan data atlet lebih cekap.

Pada masa ini, SSC mengendalikan 290 Pusat Pembangunan Sukan dengan penyertaan seramai 5,983 atlet dan 295 jurulatih. 

Sepanjang 2025, pelbagai program pembangunan sukan dilaksanakan merentasi pelbagai disiplin, termasuk latihan kejurulatihan dan inisiatif mengesan bakat baharu yang menunjukkan potensi besar.

Dalam perkembangan lain, seramai 54 atlet Sarawak telah dipilih mewakili Malaysia ke Sukan SEA ke-33 di Thailand pada 2025, merangkumi pelbagai acara sukan. 

Abdul Karim berkata pemilihan itu menunjukkan keyakinan peringkat kebangsaan terhadap kemampuan atlet Sarawak yang semakin menyerlah sebagai pencabar utama di rantau ini.

“Ini merupakan bukti jelas bahawa usaha pembangunan sukan Sarawak berada di landasan betul. Kita bukan sahaja mahu berjaya dalam SUKMA, tetapi mahu melahirkan atlet yang konsisten di pentas antarabangsa dan membawa nama Malaysia ke tahap lebih tinggi,” katanya.

SUKMA 2024 menyaksikan kontinjen Sarawak muncul juara keseluruhan dengan 76 pingat emas, 55 perak, dan 70 gangsa, menjadikan jumlah keseluruhan 201 pingat.

Wilayah Persekutuan mencatat jumlah pingat terbanyak iaitu 212 pingat(75 emas, 65 perak, 72 gangsa), tetapi emas mereka satu kurang daripada Sarawak. Selangor berada di kedudukan ketiga dengan 56 emas, 64 perak, dan 61 gangsa.

Oleh Adele Rissa

Tags: Sukan

Continue Reading

Previous: DUN: Atlet anak Sarawak catat kecemerlangan peringkat nasional, antarabangsa
Next: DUN: Sarawak terus perkasa kemudahan sukan inklusif untuk komuniti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.