DARO: Kerajaan Sarawak akan membekalkan aset termasuk sebanyak enam buah kapal untuk Pengawal Pantai Sarawak bagi menjaga dan melindungi kekayaan sumber ikan di negeri ini.
Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg berkata, pasukan Pengawal Pantai Sarawak itu ditubuhkan oleh Jabatan Ketua Menteri menerusi Unit Keselamatan Negeri.
“Kita akan membekalkan stesen untuk kapal ini, iaitu satu di Lawas, satu di Bintulu, satu di Tanjung Manis dan satu lagi di kawasan Tanjung Datu.
“Mereka akan memantau perairan kita melalui kapal ini dengan bekerjasama Agensi Penguatkuasa Maritim Malaysia (APMM),” jelasnya.
Selain itu, katanya, Kerajaan Sarawak akan terus membantu masyarakat nelayan di negeri ini menerusi pelbagai bentuk bantuan.
“Memang kita ada peruntukan dalam bajet yang lepas, dan untuk masyarakat nelayan kita yang terjejas musim tengkujuh.
“Dan satu-satunya yang kita bantu ialah peralatan, yang keduanya kita ada dasar untuk memperkayakan sumber ikan melalui tukun tiruan yang kita bangunkan di seluruh perairan di Sarawak,” ujarnya pada sidang media selepas menyempurnakan Majlis Perasmian Penanaman Tukun Tiruan Di Perairan Matu Daro 2020 di sini semalam.
Terdahulu, dalam ucapannya Ketua Menteri memberitahu, Perairan Sarawak bakal mencatatkan rekod sebagai kawasan yang mempunyai projek tukun jenis tiruan “Reefball” terpanjang di dunia.
“Kerajaan Sarawak telah memulakan projek tukun tiruan sejak 20 tahun yang lalu. Pada tahun 2018, saya telah meluluskan peruntukan dana RM70 juta di bawah Projek Rakyat untuk menanam 16,800 tukun tiruan dari Tanjung Datu di Bahagian Kuching hingga ke Lawas,” ujarnya.
Ia sudah pasti memerlukan dana tetapi, menurutnya, ia memberikan faedah secara langsung kepada penduduk di pesisir laut terutamanya nelayan di Sarawak.
“Ini kerana ‘Reef Ball’ bukan sahaja mewujudkan habitat untuk ikan, malah dapat melindungi habitat pembiakan hidupan laut daripada ancaman aktiviti dan amalan perikanan yang memudaratkan ekosistem persisiran laut seperti aktiviti pukat tunda haram,” ujarnya lagi.
Pada majlis tersebut, Ketua Menteri menyampaikan Program Bantuan Musim Tengkujuh Nelayan (BMTN) kepada 198 penerima dari kawasan N.43 Daro membabitkan peruntukan berjumlah RM363,000.
Manakala, N.42 Semop seramai 786 penerima BMTN melibatkan peruntukan RM1,179,000.
Bantuan Input Peralatan Perikanan Nelayan (BIPN) N.43 Daro sebanyak RM442,000. Dan BIPN N.42 Semop sebanyak RM1,288,000.
Turut hadir Menteri Kebajikan, Kesejahteraan Komuniti, Wanita, Keluarga dan Pembangunan Kanak-Kanak, Dato’ Sri Fatimah Abdullah, Menteri Muda Pembangunan Bandar dan Sumber Asli, Datu Len Talif Salleh, Menteri Muda Hal Ehwal Korporat dan Unit Komunikasi Awam Sarawak, Abdullah Saidol, Ahli Parlimen Igan, Ahmad Johnie Zawawi, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Daro, Safiee Ahmad dan Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Sarawak Forestry Corporation (SFC), Zolkipli Mohamad Aton.
Oleh Akun Giman