

HANOI: Perdana Menteri Vietnam, Pham Minh Chinh mengeluarkan arahan meminta kementerian, agensi dan wilayah pesisir mengaktifkan tahap kesiapsiagaan tertinggi ketika ribut tropika Koto semakin menghampiri, menurut Agensi Berita Vietnam pada Khamis, lapor Xinhua.
Vietnam menggerakkan 267,335 anggota tentera serta 6,684 aset dan kenderaan bagi persiapan operasi mencari dan menyelamat apabila Koto melanda daratan, menurut laporan itu.
Pasukan tentera turut bekerjasama dengan pihak berkuasa tempatan untuk memindahkan penduduk dari kawasan berisiko tinggi ke lokasi yang lebih selamat.
Wilayah pesisir dari Da Nang hingga Ca Mau mengeluarkan amaran berkaitan ribut itu kepada lebih 49,200 kapal dan 272,098 nelayan.
Pusat Ramalan Hidro-Meteorologi Kebangsaan memaklumkan bahawa Koto berada kira-kira 180 kilometer di utara Pulau Southwest Cay setakat 7 pagi Khamis, dan bergerak ke arah barat-barat laut pada kelajuan 10 hingga 15 kilometer sejam.
Pakar meteorologi menjelaskan laluan dan intensiti ribut masih belum stabil, menurut laporan akhbar harian Voice of Vietnam.- Bernama-Xinhua