ATHENS, Greece, 24 November: Pihak berkuasa Greece membuka semula sebuah muzium bersejarah di kawasan Acropolis purba Athens, sekali gus mendorong pemimpin negara itu mengulangi tuntutan supaya Britain memulangkan arca klasik bernilai tinggi yang didakwa dibawa keluar secara tidak sah dari tapak berkenaan.
Dibina sejak penghujung abad ke-19, Muzium Acropolis Lama yang terletak beberapa meter dari kuil Parthenon itu ditutup pada 2007, manakala koleksi utama artifak di tapak berkenaan dipindahkan ke sebuah muzium lebih besar yang terletak berhampiran.
Muzium baharu yang dibuka pada 2009 itu turut menyediakan ruang khas bagi menempatkan arca Parthenon, yang menurut Greece telah dibawa keluar dari tapak berkenaan oleh seorang diplomat Britain pada 1802.
Muzium Acropolis Lama dibuka semula kepada orang ramai pada Isnin selepas menjalani kerja pengubahsuaian bernilai 10 juta euro (AS$11 juta), dengan mempamerkan pelbagai artifak berharga yang sebelum ini disimpan di dalam stor.
Perdana Menteri Kyriakos Mitsotakis menggunakan kesempatan melawat muzium yang telah dinaik taraf itu untuk sekali lagi menuntut pemulangan arca purba berkenaan.
“Ketika kita membuka semula pintu Muzium Acropolis Lama, yang terletak hanya beberapa meter dari Parthenon yang ikonik, fikiran kita pasti tertumpu kepada apa yang masih belum dikembalikan,” katanya.
“Pemulangan dan penyatuan semula arca Parthenon kekal sebagai matlamat nasional utama kita yang tidak boleh dikompromi.”
Athens sejak beberapa dekad lalu menuntut pemulangan arca berkenaan yang di Britain kadangkala dikenali sebagai “Elgin Marbles”, sempena nama Lord Elgin yang didakwa Greece bertanggungjawab membawa keluar arca itu.
Mitsotakis sebelum ini berkata isu berkenaan boleh dibangkitkan dalam sebarang rundingan berkaitan usaha Britain memperbaharui hubungan dengan Kesatuan Eropah (EU).
– ‘Bab baharu’ –
Muzium Acropolis Lama merupakan muzium pertama yang menempatkan artifak purba dari tapak ikonik tamadun Barat itu yang bermula sejak abad kelima Sebelum Masihi.
“Satu bab baharu sedang bermula untuk Acropolis Athens dengan pembukaan semula Muzium Acropolis Lama,” kata Menteri Kebudayaan Lina Mendoni pada majlis perasmian.
Beliau berkata muzium bersejarah itu mempunyai hubungan yang amat rapat dengan sejarah arkeologi Greece serta kerja-kerja penggalian di Bukit Suci berkenaan.
Menurutnya, muzium itu kini akan memainkan peranan baharu sebagai “pusat pengetahuan arkeologi dan dialog kebudayaan kontemporari”.
Bahagian pertama muzium menampilkan pameran tetap arca yang sebelum ini disimpan di dalam stor dan kini dipamerkan kepada orang ramai buat kali pertama.
Bahagian kedua pula menempatkan 750 artifak arkeologi dari bandar Athens yang telah dipulihkan.
Bahagian ketiga menampilkan persembahan digital tiga dimensi bagi 100 monumen Acropolis yang dihasilkan dengan bantuan kecerdasan buatan (AI).
Bahagian keempat dikhususkan untuk seni kontemporari menerusi pemasangan karya oleh artis Amerika-Iraq, Michael Rakowitz.
Menurut kumpulan seni NEON, pameran itu menampilkan “karya seni kontemporari yang berinteraksi dengan artifak purba dari rantau Timur Tengah dan Mediterranean tenggara”.
Menurut angka rasmi, kira-kira 4.6 juta orang mengunjungi Acropolis pada 2025.
Pengunjung yang membayar 30 euro untuk memasuki kawasan Parthenon perlu membayar tambahan 15 euro untuk melawat muzium yang telah dinaik taraf itu, menurut pihak penganjur. – AFP




