TOKYO, 24 November: Hampir satu daripada lima syarikat di Jepun yang mengambil graduan baharu bagi jawatan perkeranian dan pentadbiran merancang untuk mengurangkan pengambilan mereka bagi tugas berkenaan susulan penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin meluas, menurut tinjauan terbaharu, lapor Kyodo News.
Bagaimanapun, kesan penggunaan AI terhadap rancangan pengambilan pekerja berbeza mengikut industri, dengan lebih banyak syarikat berhasrat meningkatkan pengambilan pekerja baharu bagi jawatan dalam bidang teknologi maklumat (IT) dan pekerjaan kolar biru berbanding syarikat yang merancang mengurangkan pengambilan bagi pekerjaan berkenaan, menurut firma perkhidmatan sumber manusia Mynavi Corp.
Menurut tinjauan yang dijalankan antara September dan Oktober itu, antara alasan yang diberikan oleh syarikat yang menjangkakan pengurangan pengambilan graduan baharu ialah kemajuan AI dan kesesuaiannya untuk melaksanakan tugas peringkat permulaan.
Mynavi memaklumkan bahawa 1,667 syarikat daripada pelbagai industri, termasuk 114 syarikat tersenarai, mengambil bahagian dalam tinjauan itu.
Dalam kalangan syarikat yang mengambil graduan bagi jawatan perkeranian dan pentadbiran untuk tahun fiskal bermula April depan, 19.6 peratus merancang mengurangkan pengambilan, 79.2 peratus menjangkakan tiada perubahan dan 1.2 peratus merancang meningkatkan pengambilan.
Bagi jawatan dalam bidang perancangan perniagaan dan pemasaran, 11.7 peratus menjangkakan pengurangan pengambilan, manakala 1.2 peratus merancang meningkatkan pengambilan.
Dalam kalangan syarikat yang mengambil graduan baharu bagi jawatan dalam bidang IT, 10.3 peratus sedang mempertimbangkan untuk meningkatkan pengambilan, dengan permintaan lebih ketara dalam kalangan pengeluar yang berhasrat memanfaatkan AI, menurut Mynavi.
Bagi pekerjaan kolar biru, 8.5 peratus syarikat berkata mereka akan mengambil lebih ramai graduan, berbanding 1.5 peratus yang merancang mengurangkan pengambilan.
“Pelajar perlu mempertimbangkan dengan lebih teliti berbanding sebelum ini mengenai industri dan pekerjaan yang ingin diceburi bagi membina kerjaya yang diingini,” kata penyelidik pasaran pekerjaan Mynavi Yosuke Hasegawa yang menyelia tinjauan itu.
Beliau berkata majikan perlu menilai dengan lebih teliti matlamat kerjaya pelajar bagi memastikan mereka sesuai dengan organisasi masing-masing.
Pakar berkata AI turut mengubah cara graduan mempelajari tugas mereka.
Ketua Penyelidik Institut Penyelidikan Daiichi Life Tasuku Kashiwamura berkata apabila AI mengambil alih tugas rutin seperti menyediakan minit mesyuarat, pekerja muda mempunyai semakin kurang peluang untuk menimba pengalaman menerusi kaedah konvensional.
Beliau berkata usaha mendapatkan maklumat secara langsung dan mengenal pasti tugas yang tidak boleh diambil alih oleh AI akan menjadi lebih penting berbanding sebelum ini bagi pekerja muda. – Bernama




