Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • SUKAN
  • Slot akui kelemahan selepas Liverpool dimalukan Forest
  • SUKAN

Slot akui kelemahan selepas Liverpool dimalukan Forest

Utusan Sarawak 3 hours ago

Pengurus Liverpool Arne Slot. Foto AFP

LIVERPOOL: Arne Slot mengakui beliau memikul tanggungjawab sepenuhnya selepas Liverpool tewas buat kali keenam dalam tujuh perlawanan Liga Perdana apabila dikejutkan Nottingham Forest 3-0 di Anfield lewat malam tadi.

Kekalahan itu menyamai rekod kekalahan paling buruk Liverpool di laman sendiri dalam era Liga Perdana, sekali gus menambah tekanan terhadap juara bertahan yang terus bergelut.

Forest menjaringkan gol menerusi Murillo, Nicolo Savona dan Morgan Gibbs-White, menjadikan kekalahan ini yang paling teruk buat Liverpool di Anfield sejak tumbang 4-1 kepada Manchester City pada 2021.

Chelsea dan West Ham sebelum ini merupakan dua pasukan sahaja yang menang di Anfield dengan beza tiga gol dalam era Liga Perdana.

Taktik pengurus Forest, Sean Dyche — yang mengamalkan corak bertahan rendah dan serangan balas pantas — ternyata mengatasi perancangan Slot yang berdepan barisan pemain Liverpool yang tumpul.

“Betapa buruknya, sukar diukur tetapi ia memang sangat teruk. Bermain di laman sendiri dan tewas 3-0 kepada mana-mana pasukan adalah keputusan yang amat buruk,” kata Slot.

“Saya mahu tekankan bahawa saya bertanggungjawab atas semua kekalahan ini. Anda bertanggungjawab ketika menang dan juga ketika kalah.”

Slot menegaskan tiada alasan yang boleh diberi bagi prestasi buruk Liverpool ketika mereka tercicir ke tangga ke-11, kini lapan mata di belakang pendahulu Arsenal – sekali gus menjejaskan usaha mempertahankan gelaran jauh sebelum Krismas.

Liverpool kini tewas lapan daripada 11 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan — satu kejatuhan besar bagi pasukan yang sebelum ini meraih gelaran ke-20 liga dengan penuh dominasi.

Kemerosotan ini hadir selepas mereka membelanjakan hampir £450 juta pada musim panas lalu bagi membawa masuk pemain baharu yang dijangka meraih lebih banyak trofi. 

Namun, pembelian rekod British, Alexander Isak, masih belum menjaringkan gol liga, manakala Florian Wirtz juga terus gagal memberi impak.

Walaupun situasi semakin meruncing, Slot tetap percaya pasukannya mampu bangkit.

“Sudah tentu ada jalan keluar, terutama dengan kualiti pemain yang kami ada,” katanya.

Slot berpendapat Liverpool sebenarnya bermula baik pada separuh masa pertama tetapi kegagalan memanfaatkan peluang menghukum mereka.

“Pada pandangan saya, permulaan kami sangat baik. Saya tidak ingat bila kali terakhir kami mencipta begitu banyak peluang dalam 30 minit awal musim ini.

“Namun, kali pertama mereka masuk ke kawasan penalti kami, mereka menjaringkan gol.

“Ia satu ‘koktel’ yang sukar ditelan apabila anda mensia-siakan peluang sendiri tetapi setiap kali mereka menyerang, bola masuk,” katanya. – AFP

Continue Reading

Previous: Liverpool dimalukan Forest, Newcastle hampakan misi kejuaraan Man City

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.