SIMANGGANG: Kerajaan Sarawak tidak hanya memberi fokus terhadap pelaksanaan projek pembangunan bersifat fizikal untuk rakyat di dalam negeri ini, malah memberi penekanan kepada proses pembangunan rohani rakyat.
Ini dilakukan dengan membangunkan rumah ibadat dan menyalurkan peruntukan untuk organisasi keagamaan rakyat di negeri ini, kata Menteri Muda Kesejahteraan Komuniti, Datuk Francis Harden Hollis.
Menurut beliau lagi, Kerajaan Sarawak pimpinan Gabungan Parti Sarawak (GPS) bersikap adil berhubung perkara tersebut apabila semua rakyat berlainan agama menerima peruntukan untuk tujuan pembangunan rohani masing-masing selama ini.
“Ia terbukti apabila kerajaan bertindak menubuhkan Unit Hal Ehwal Agama-Agama Lain (UNIFOR) bagi tujuan itu agar proses pembangunan rohani mereka seiring dengan pembangunan rohani umat Islam di dalam negeri ini,” kata Harden pada Majlis Kesyukuran serta Perasmian Surau Darul Hasanah, Taman Harmoni di sini semalam.
Justeru beliau menasihati rakyat berbilang kaum dan agama di negeri ini agar sama-sama mempertahankan perpaduan hidup yang sedia ada pada masa sekarang.
Harden juga menyeru kepada rakyat agar tidak sesekali mudah percaya terhadap fitnah berbaur perkauman yang disebar menerusi media sosial sehingga ia boleh menggugat perpaduan hidup rakyat di dalam negeri ini.
“Pertahankanlah perpaduan yang kita pelihara dari dahulu lagi sehingga sekarang. Jadikanlah Sarawak sebagai sebuah negeri yang unik dengan rakyatnya terus kekal berdiri teguh walaupun sering dihujani pelbagai fitnah berbaur perkauman selama ini,”katanya.
Terdahulu projek pembinaan Surau Darul Hasanah termasuk pagar di Taman Harmoni telah mula dibina pada 2017 dan siap sepenuhnya tahun lepas dengan kos berjumlah RM171,000.
Kos berkenaan telah disalurkan melalui Projek Infrastruktur Asas (PIAS) Pejabat Pembangunan Sarawak (SDO) dengan Syarikat Hasro Jaya yang bertindak sebagai kontraktor bagi projek tersebut.
Hadir sama Pegawai Daerah Sri Aman, Mohd Ashree Wee, Pegawai Jabatan Agama Islam Bahagian Sri Aman, Ustaz Abang Azman Abang Mohammad, Ketua Kampung Taman Harmoni, Ahmad Alwi Kipli dan Pengerusi surau tersebut, Sazali Abang Man.
Oleh Valentine Ngumbang