
KOTA SAMARAHAN: Festival Makanan dan Kebudayaan Samarahan 2025 dengan tema Sambutan Warisan dan Rasa membuka tirainya hari ini di Pasar Tamu Majlis Perbandaran Kota Samarahan (MPKS), menampilkan pelbagai keunikan budaya serta kepelbagaian cita rasa tempatan yang menjadi identiti masyarakat setempat.
Pengunjung festival berpeluang menyaksikan pelbagai persembahan kebudayaan menarik serta mengambil bahagian dalam aktiviti interaktif yang sesuai untuk seisi keluarga. Festival ini berlangsung mulai hari ini hingga 29 November depan.

Antara pengisian menarik termasuk pertandingan karaoke dan pelbagai aneka jualan makanan tradisional serta moden yang memikat selera.
Malam Perasmian rasmi festival dijadualkan berlangsung malam esok dan akan disempurnakan oleh Ahli Parlimen Kota Samarahan merangkap Timbalan Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW), Datuk Rubiah Wang.

Majlis tersebut dijangka menarik kehadiran lebih ramai pengunjung, sekali gus menyerlahkan festival ini sebagai platform penting dalam memartabatkan warisan dan budaya Samarahan.
Oleh Norman B