Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • KESIHATAN
  • Persidangan Urologi Malaysia ke-34 tarik 650 penyertaan, lebih 500 dari luar Sarawak
  • KESIHATAN

Persidangan Urologi Malaysia ke-34 tarik 650 penyertaan, lebih 500 dari luar Sarawak

Utusan Sarawak 3 hours ago
TERBAIK… Dato Wee Hong Seng bersama tetamu kehormat yang lain merakam gambar kenangan pada Perasmian Persidangan Urologi Malaysia ke-34, hari ini.

KUCHING: Persidangan Urologi Malaysia ke-34 menerima lebih 650 penyertaan, termasuk lebih 500 peserta dari luar Sarawak, yang menunjukkan reputasi persidangan ini di peringkat kebangsaan, satu perkembangan yang mencerminkan keyakinan komuniti urologi terhadap Persatuan Urologi Malaysia.

Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Dr Sim Kui Hian menegaskan bahawa inovasi bukan sahaja merangkumi teknologi baharu, tetapi juga cara berfikir, membuat keputusan dan meningkatkan kualiti penjagaan pesakit.

“Setiap inovasi mesti diterjemahkan kepada manfaat langsung kepada pesakit. Sarawak kini menjadi satu-satunya pusat di Malaysia Timur yang menawarkan pembedahan robotik urologi,” katanya.

SIMBOLIK.. Dato Wee Hong Seng melakukan simbolik Perasmian Persidangan Urologi Malaysia ke-34, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Datuk Bandar Kuching Selatan, Dato Wee Hong Seng pada Persidangan Urologi Malaysia ke-34 di sebuah hotel terkemuka di sini, hari ini.

Katanya, sejak 2023, lebih 250 prosedur robotik telah dilaksanakan, termasuk prostatektomi dan nefrektomi separa.

“Persidangan ini menampilkan program komprehensif yang merangkumi Masterclass Pembedahan Robotik bagi prosedur prostatektomi dan nefrektomi separa, sesi plenari merentasi bidang onkologi, batu karang, pediatrik, rekonstruksi serta pemindahan organ, selain bengkel kemahiran khusus, program kejururawatan, dan penyertaan pelatih serta rakan serantau ASEAN,” katanya.

Beliau menyifatkan pencapaian ini sebagai bukti komitmen pasukan bedah, jururawat dan kakitangan sokongan dalam membangunkan perkhidmatan yang selamat dan berimpak tinggi.

SEKITAR suasana program ketika Persidangan Urologi Malaysia ke-34.

Sempena Bulan Kesedaran Kanser Prostat, beliau memaklumkan bahawa Sarawak merekodkan kira-kira 100 kes baharu setiap tahun, dengan kadar penyakit metastatik antara terendah di Malaysia.

Jelasnya, pencapaian ini hasil program saringan awal, pendidikan masyarakat dan usaha sedaya upaya petugas kesihatan negeri.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada Persatuan Urologi Malaysia, jawatankuasa penganjur yang diketuai Dr Aaron Goh, rakan industri serta pelbagai pihak di Sarawak yang bertungkus-lumus menjayakan persidangan berskala besar ini.

Turut dihargai ialah sokongan BESarawak yang membantu memperkukuh penganjuran persidangan saintifik dan pembangunan perubatan di negeri ini.

Beliau berharap persidangan tersebut menjadi platform perkongsian ilmu yang bermanfaat serta mampu meningkatkan kualiti penjagaan pesakit di seluruh negara.

Beliau menggesa doktor muda dan para pelatih agar memanfaatkan peluang pembelajaran, bertanya, memerhati dan membina jaringan profesional yang akan menjadi aset sepanjang kerjaya.

Oleh Norman B

Tags: Kesihatan

Continue Reading

Previous: Thailand lapor lonjakan kes influenza dengan 100 kematian

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.