
SIBU: Persatuan Kebajikan Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), dengan kerjasama Biro Kebajikan PERISMA, hari ini menyalurkan sumbangan kebajikan kepada waris anggota bomba yang meninggal dunia serta pegawai bomba yang terkesan akibat bencana banjir.
Majlis Sumbangan Kebajikan yang berlangsung di Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sibu Sentral itu disempurnakan oleh Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM, Dato Ir. Ts. Ahmad Izram Osman sempena lawatan kerja rasmi beliau ke JBPM Negeri Sarawak.
Dalam ucapannya, Ahmad Izram berkata, kerajaan sentiasa memberi perhatian kepada kebajikan setiap pegawai dan anggota bomba melalui Kumpulan Wang Kebajikan Bomba (KWKB), merangkumi bantuan kematian, kecederaan kekal dan pendidikan.
“Persatuan Kebajikan memainkan peranan penting dalam membantu mereka yang memerlukan secara lebih cepat bagi meringankan beban kewangan mangsa, keluarga atau waris pegawai dan anggota yang terkesan akibat kematian, bencana atau kemalangan,” katanya.
Seramai tiga waris keluarga Wira Merah hadir untuk menerima sumbangan pada program berkenaan, selain enam pegawai bomba yang terkesan akibat bencana banjir turut menerima bantuan kewangan.
Menurutnya, usaha sebegini membuktikan komitmen berterusan jabatan dalam memastikan kebajikan anggota sentiasa terpelihara, termasuk membantu keluarga yang kehilangan insan tersayang.
“Saya menzahirkan penghargaan kepada syarikat swasta serta pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang tampil bekerjasama menyokong program kebajikan ini,” ujarnya.
Beliau memaklumkan bahawa keahlian Persatuan Kebajikan JBPM Sarawak sehingga Oktober tahun ini adalah seramai 723 orang atau 59 peratus anggota yang berdaftar.
“Saya yakin di bawah kepimpinan Pengarah JBPM Sarawak ketika ini, keahlian dapat ditingkatkan kepada 90 peratus menjelang 2026,” ujarnya lagi.
Beliau turut menzahirkan ucapan terima kasih kepada JBPM Sarawak khususnya Zon Sibu atas kerjasama menjayakan program tersebut.
Turut hadir Pengarah JBPM Sarawak, Jamri Masran, Timbalan Yang Dipertua Persatuan Kebajikan JBPM, Norizan Saad, Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Andy Alie, Ketua BBP Sibu Sentral, Mohamad Suhaili dan rakan-rakan strategik.
Oleh Akun Giman