MARUDI : Menteri Muda Kerajaan Tempatan selaku Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Marudi, Datu Dr. Penguang Manggil berharap Kementerian Kesihatan dapat mempertimbangkan cadangan menaik taraf Klinik Kesihatan di Beluru kepada Klinik Kesihatan jenis 5 atau jenis 4.
Katanya naik taraf klinik tersebut perlu dilakukan bagi menambahbaik kualiti perkhidmatan kesihatan selaras dengan status Beluru sebagai sebuah daerah.
Menurut beliau Klinik Kesihatan Beluru yang sudah berusia 40 tahun memerlukan banyak kerja-kerja naik taraf dan perlu perhatian segera.
Katanya setakat ini klinik tersebut merupakan klinik kesihatan jenis 6 dengan purata pelawat seramai 80 orang sehari.
Dalam pada itu beliau merakam terima kasih kepada Timbalan Menteri Kesihatan II Datuk Aaron Ago Dagang semasa lawatan beliau ke klinik tersebut baru-baru ini.
Lawatan Datuk Aaron ke klinik berkenaan adalah atas jemputan Dr Penguang untuk melihat sendiri keadaan Klinik Kesihatan Beluru yang memerlukan baikpulih.
Turut hadir Setiausaha Politik di pejabat Ketua Menteri, Alexander Asing, Pegawai Daerah Beluru Alfred Geling, Pengerusi Majlis Daerah Marudi Edward Mendai, Pengarah hospital Miri Dr Jack, Pegawai Kesihatan Daerah, Dr Ravi, Pemanca Enggah dan ketua-ketua masyarakat.
Oleh Jiku Juguong