
BINTULU: Pembinaan bumbung bagi laluan pejalan kaki yang menghubungkan PPR Bandaria Park ke Sekolah Kebangsaan (SK) Ulu Segan dijangka meningkatkan keselamatan dan keselesaan murid yang menggunakannya setiap hari.
Pegawai Khas kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Jepak, Shahrezy Sulaiman berkata, projek di bawah Program Transformasi Luar Bandar (RTP) itu melibatkan pembinaan bumbung pada laluan susur gajah serta pondok menunggu bagi melindungi murid-murid daripada hujan, selain mengurangkan risiko tergelincir.
“Projek ini bertujuan memastikan murid-murid tidak terkena hujan ketika berjalan ke sekolah dan pada masa sama meningkatkan keselamatan mereka agar tidak tergelincir atau terjatuh ketika melalui laluan tersebut,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas melakukan tinjauan ke tapak projek di SK Ulu Segan di sini, hari ini.
Menurut Shahrezy, projek itu turut akan dilaksanakan dengan sedikit penambahbaikan berbanding pelan asal bagi memastikan peruntukan disalurkan dapat dimanfaatkan sepenuhnya.
“Kita akan menambah bumbung menuju ke jalan pagar hadapan sebagai tambahan kepada pelan asal,” katanya.
Projek berkenaan dianggarkan menelan kos kira-kira RM200,000 dan bakal memberi manfaat kepada lebih 60 peratus murid SK Ulu Segan yang tinggal di Bandaria Park.
Oleh Carolyne Utih