
BETONG: Mesyuarat Jawatankuasa Panel Pemilihan Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) Bahagian Betong berlangsung di Bilik Mesyuarat Pejabat Residen Bahagian Betong hari ini bagi membincangkan penyusunan semula kepimpinan masyarakat di bahagian ini.
Mesyuarat berkenaan dipengerusikan oleh Residen Bahagian Betong, Datu Richard Michael Abunawas, yang turut menekankan kepentingan memastikan proses pemilihan KMKK berjalan teratur dan mengikut keperluan pentadbiran semasa.
Bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Kabong yang berada di bawah tadbir urus Pejabat Daerah Kabong dan Pejabat Daerah Kecil Roban, mesyuarat bersetuju untuk melanjutkan perkhidmatan lima orang Ketua Masyarakat sebagai kesinambungan kepimpinan sedia ada.
Selain itu, seorang Ketua Kaum baharu diluluskan lantikannya, manakala 28 Ketua Kaum sedia ada menerima lanjutan perkhidmatan mengikut penilaian dan keperluan pentadbiran setempat.
Mesyuarat turut memutuskan penamatan perkhidmatan lima Ketua Kaum serta seorang Ketua Kaum ditempatkan di bawah status Dalam Perhatian (KIV) bagi membolehkan penelitian lanjut dibuat sebelum sebarang keputusan muktamad.
Mesyuarat tersebut bertujuan memperakukan senarai lantikan KMKK bagi tempoh perkhidmatan akan datang, sekali gus memastikan barisan kepimpinan di peringkat kampung dan rumah panjang terus berfungsi secara berkesan serta memperkukuh hubungan antara kerajaan dan komuniti setempat.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kalaka, Mohamad Duri; ADUN Krian, Friday Belik; Pegawai Daerah Kabong, Tahir Mohd Sharee; Pegawai Tadbir Khas ADUN Kabong, Nur Elffi Amir serta ahli-ahli mesyuarat lain yang mewakili pelbagai agensi berkaitan.
Oleh Adi Safarman