PETRA JAYA, 19 Oktober: Sebanyak 1,059 permohonan pewujudan jawatan baharu Ketua Masyarakat dan Ketua Kaum (KMKK) di seluruh Sarawak kini sedang diteliti kerajaan negeri.

Menteri di Jabatan Premier Sarawak, Dato Sri John Sikie Tayai berkata, permohonan berkenaan dinilai berdasarkan keperluan pentadbiran masyarakat di kawasan masing-masing sebelum sebarang keputusan dibuat.
“Kesukaran akses ke kawasan pedalaman, termasuk melalui jalan darat, sungai dan udara turut diambil kira dalam menentukan keperluan pewujudan jawatan baharu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika menyampaikan ucapan penggulungan bagi Jabatan Premier Sarawak pada sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) di sini, hari ini.
Beliau mengulas lanjut, penilaian itu penting bagi menentukan keperluan penambahan jawatan KMKK, khususnya di kawasan yang mempunyai penempatan berjauhan dan sukar diakses.
Katanya, permohonan berkenaan masih dalam proses penelitian dan belum ada keputusan mengenai jumlah jawatan baharu yang akan diwujudkan.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan Sarawak telah melaksanakan kenaikan gaji dan elaun bulanan sebanyak RM400 kepada KMKK berkuat kuasa sejak Januari tahun ini.
Untuk rekod, sebelum pelarasan berkenaan, kadar permulaan gaji bulanan Temenggong ialah RM1,600, Pemanca RM1,300 dan Penghulu RM1,100, manakala Ketua Kaum menerima elaun sebanyak RM900 sebulan.
Susulan kenaikan itu, kadar permulaan gaji bulanan Temenggong meningkat kepada RM2,000, Pemanca RM1,700 dan Penghulu RM1,500, manakala elaun Ketua Kaum meningkat kepada RM1,300 sebulan.
Kenaikan yang diumumkan menerusi Belanjawan Sarawak 2026 itu melibatkan 7,710 jawatan KMKK dengan peruntukan tambahan kira-kira RM37 juta setahun.
Oleh Masrin Affirah


