KUCHING: Sarawak mencatatkan satu kes Covid-19 semalam, sekali gus menamatkan sembilan hari ketiadaan kes baharu, kata Datuk Amar Douglas Uggah Embas.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBNS) yang juga Timbalan Ketua Menteri itu mendedahkan kes terbaharu itu di Sibu merupakan kes import yang baharu pulang dari Singapura.
Menurutnya kes menjalani kuarantin dan saringan didapati positif semalam.
“Ia menjadikan kita mempunyai kes baharu tetapi kes import. Setakat ini kita tidak mempunyai kes positif tempatan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyempurnakan Hari Integriti Kementerian Pemodenan Pertanian, Tanah Asli dan Pembangunan Wilayah Sarawak di sebuah hotel terkemuka semalam.
Uggah menyatakan walaupun tiada kes tempatan dilaporkan beliau merayu agar rakyat Sarawak kekal peka dan mengambil berat bahana pandemik Covid-19 ini.
“Walaupun lekukan kota sudah kembali kelihatan rata, jangan terlalu leka. Kekalkan amalan penjarakan fizikal, patuhi prosedur operasi standard (SOP) dan sentiasa memakai pelitup muka dan pastikan ia sentiasa menutup hidung anda,” tegasnya sambil mengingati kebersihan harus sentiasa dipelihara.
Dalam pada itu, Uggah akui Sarawak kini sangat berdisiplindi dalam menangani penularan pandemik Covid-19 namun beliau tetap mengingatkan rakyat bahawa Sarawak belum menang melawan Covid-19.
“Kita telah memberi kelonggaran dari segi membenarkan pekerja Indonesia seperti pembantu rumah memasuki negeri ini dengan pematuhan SOP,” ujarnya.
Terkini kata Uggah, JPBNS telah memohon kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) untuk membenarkan pekerja Indonesia dari kategori kerja lain memasuki Sarawak.
“Kita akan menetapkan pematihan SOP di mana semua warga asing yang memasuki negeri ini menjalani kuarantin 14 hari sebelum dibebaskan kepada majikan. Majikan juga harus membiayai dan menyediakan pengangkutan dari sempadan hingga ke pusat kuarantin,” jelasnya kos saringan dan swab juga ditanggung pihak majikan.
Kebenaran warga Indonesia memasuki negeri ini kata Uggah, perlu diringi dengan pematuhan SOP berikutan sebelum ini apabila Sarawak menutup sempadan tetapi rakyat jiran itu memasuki Sarawak melalui jalan tikus.
Tegas Uggah, kemasukan mereka secara haram itu mengakibatkan Sarawak tidak mampu mengawal penularan pandemik itu.
“Kita tidak dapat mengkuarantinkan mereka kerana mereka masuk secara bersembunyi. Maka dengan itu kita sedikit fleksibel,” jelasnya JPBNS kini sedang menanti jawapan Putrajaya berhubung permohonan kemasukan warga Indonesia kelas kerja lain.
Uggah berharap mendapat maklum balas posiif dari pihak Kerajaan Persekutuan dalam beberapa hari lagi.
Pertambahan kes terbaharu semalam menjadikan Sarawak mempunyai 700 kes positif.
Oleh Diyana Samsuddin