
BINTANGOR: Rondaan pemantauan monsun timur laut (MTL) di tebingan Sungai Rajang petang semalam merekodkan keadaan selamat dengan paras air terkawal dan cuaca cerah.
Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Bintangor, Mahmudin Narudin, berkata rondaan tersebut dilaksanakan sebagai langkah kesiapsiagaan menghadapi MTL yang lazimnya membawa hujan berterusan dan risiko kenaikan paras air sungai.
“Dua anggota bomba bertugas telah menjalankan rondaan pemantauan di tebingan Sungai Rajang.
“Hasil rondaan mendapati cuaca cerah dan trend air surut,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Katanya, rondaan MTL tetap diteruskan dari semasa ke semasa untuk memastikan maklumat terkini dapat disalurkan segera kepada pihak berkuasa dan penduduk.
“Rondaan ini penting sebagai langkah persediaan awal untuk memastikan kami berada pada tahap kesiapsiagaan yang optimum sepanjang musim MTL.
“Saya berharap agar penduduk di kawasan rendah berisiko banjir sentiasa peka terhadap perubahan cuaca dan menghubungi pihak kami sekiranya berlaku sebarang situasi berisiko,” katanya.
Oleh Earl Anek