SELANGAU: Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Selangau akan dibina dengan kos berjumlah RM88 juta, ia sekaligus telah menamatkan penantian sejak sekian lama penduduk di daerah tersebut.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tamin, Christopher Gira Sambang berkata, tapak bagi projek tersebut telah dikenalpasti dan berharap pembinaannya akan dijalankan dalam masa terdekat ini.
“Peruntukan tersebut telah diluluskan oleh kerajaan menerusi Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM). Saya berharap projek pembinaan sekolah ini dapat dijalankan dengan segera demi untuk memberikan manfaat kepada penduduk di Selangau,” jelasnya.
Beliau berkata demikian semasa berucap pada Majlis Bersama Rakyat di Rumah Jingga, Sungai Buloh, semalam.
Majlis tersebut telah diserikan lagi dengan kehadiran Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Datuk Amar Dr James Jemut Masing.
Gira memberitahu, kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Tamin terus berkembang menerusi politik pembangunan Gabungan Parti Sarawak (GPS) di bawah kepimpinan Ketua Menteri, Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg.
Pada majlis tersebut, Masing yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN ) Baleh mengumumkan peruntukan RM20,000 kepada Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Rumah Jingga dan RM5,000 lagi kepada Biro Wanita rumah panjang terbabit.
Manakala, ADUN Tamin, Christopher Gira Sambang pula mengumumkan peruntukan sebanyak RM100, 000 dalam bentuk bahan binaan kepada JKKK Rumah Jingga.
Terdahulu, Gira telah merasmikan Majlis Pecah Tanah Projek Transformasi Luar Bandar (RTP) jalan batu sepanjang tiga kilometer ke Rumah Nuyah di Pasir Terebai Batang Oya dan Projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB).
“Projek jalan batu telah siap sepenuhnya bulan Jun 2020. Sebelum ini rumah panjang tersebut hanya boleh dihubungi melalui Sungai Batang Oya.
“Saya juga telah melaksanakan pecah tanah projek bekalan elektrik ke rumah panjang tersebut. Projek merupakan peruntukan dana dari Kerajaan Sarawak,” ujarnya.
Katanya, Kerajaan Negeri memperuntukan kos RM34.2 juta secara keseluruhannya untuk perlaksanaan projek Bekalan Elektrik Luar Bandar (BELB) yang bakal memberikan manfaat kepada sebanyak 60 buah rumah panjang di kawasan DUN Tamin.
“Di kawasan Selangau sebanyak 16 rumah panjang dengan kos pembinaan projek BELB sebanyak RM14.7 juta. Kawasan Balingian sebanyak 23 rumah panjang dengan kos pembinan projek BELB RM7.8 juta,” ujarnya lagi.
Beliau memberitahu, projek telah ditawarkan kepada tiga kontraktor pada bulan Mac 2020 dan dijangka siap Mac 2021.
Oleh Akun Giman