KUCHING: Kerajaan Sarawak telah menyalurkan peruntukan Program Transformasi Luar Bandar (RTP) bagi menaiktaraf Masjid Darus Sa’adah di sini, semalam.
Datuk Bandar Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Dato Wee Hong Seng berkata, dengan adanya projek menaiktaraf Masjid Darus Sa’adah ia secara tidak langsung akan memberi keselesaan kepada penduduk kampung di kawasan ini.
“Terima kasih kepada Ahli Parlimen Santubong, Dato Sri Wan Junaidi Tuanku Jaafar kerana telah memberi kepercayaan Kepada MBKS sebagai agensi perlaksana kepada projek (RTP) ini.
“Peruntukan projek menaiktaraf masjid ini adalah sebanyak RM100,000 telah diperuntukan untuk menukar karpet dalam masjid, membekal peralatan siar raya (PA System) dan membaiki bumbung yang bocor.” katanya.
Katanya lagi, kerja-kerja menaiktaraf sudah dijalankan sejak semalam dan projek ini dijangkakan akan siap pada 8 Oktober 2020. Projek ini telah diamanahkan kepada kontraktor Masmia Enterprise untuk disiapkan.
“Saya berharap kontraktor yang telah dilantik menyiapkan projek ini dalam tempoh yang telah ditetapkan agar ia tidak menyusahkan penduduk di sini untuk menunaikan ibadah lima waktu mereka.
Ketika ditemui media di sini semalam Wee turut mengatakan bahawa pihaknya tidak akan mengabaikan penduduk yang dibawah kawasan MBKS.
“Walaupun berlainan agama, bangsa dan budaya, kita akan tetap bekerjasama untuk memastikan kawasan ini mempunyai pembangunan yang setaraf dengan kawasan lain dan tidak ketinggalan dari segi pembangunan.
Dalam majlis yang sama Dato Wee turut menyumbang sebanyak 50 bendera Malaysia kepada setiap kampung di kawasan MBKS.
Oleh Jeakqleyn Yacho