BINTULU: Aspek keselamatan harus diutamakan oleh penduduk khususnya mereka yang mendirikan rumah panjang baharu.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Samalaju, Majang Renggi berkata, ini bagi memastikan rumah panjang tersebut tidak terdedah dengan sebarang bencana yang tidak diingini berlaku.
“Untuk mendirikan rumah panjang yang baharu amat memerlukan perancangan rapi malah perlunya melihat dari aspek keselamatan dan sebagainya,” katanya.
Beliau berkata demikian pada Program Mesra Rakyat bersama penduduk Rumah Inau, Batu 14, Jalan Bintulu-Miri, semalam.
Menurutnya, untuk mendirikan rumah panjang yang baharu juga memerlukan kerjasama kukuh daripada semua penduduk.
“Dengan ada kerjasama dan kesatuan dalam rumah panjang sudah pasti rumah panjang ini akan mudah mencapai kata sepakat ke arah pembangunan bersama,” katanya.
Sehubungan itu, beliau menggesa penduduk khususnya di kawasan Samalaju supaya mengambil peluang yang ada untuk meningkatkan ekonomi diri dan keluarga.
“Salah satu sektor yang dilihat mampu membawa pulangan ekonomi di kawasan ini adalah pertanian” “Samalaju menjadi tumpuan ramai dari seluruh negeri Sarawak untuk mendapatkan pekerjaan di pelbagai sektor industri dan sudah pasti hasil pertanian akan mendapat permintaan tinggi,” katanya.
Justeru, beliau mengingatkan supaya penduduk di kawasan ini juga dapat menjalinkan hubungan rapat dengan agensi kerajaan mahupun swasta bagi membolehkan mereka mengetahui sebarang bentuk bantuan dan sebagai yang dapat disalurkan untuk kepentingan penduduk.
Hadir sama Penghulu Man Imbak dan Pengerusi Persatuan Tuai Rumah Kawasan Bintulu-Samalaju, Tuai Rumah Galin Andam.
Oleh Ellie Edward