LIMBANG: Projek pembinaan jalan raya dari Buang Abai hingga Sungai Poyan fasa keempat yang berdepan kelewatan ditegur oleh Timbalan Menteri Pengangkutan Malaysia, Hasbi Habibollah.
Beliau yang juga Ahli Parlimen Limbang mengarahkan agensi pelaksana Jabatan Kerja Raya (JKR) dan pihak kontraktor perlu memastikan projek ini dapat disiapkan segera.
Hasbi melahirkan kekecewaan terhadap projek Buang Abai ke Sungai Poyan fasa keempat yang berdepan kelewatan kerana ia dinanti rakyat di sepanjang pesisir sungai.
Jalan itu juga bakal menjadi nadi utama penghubung kepada kampung selain mampu membuka rangkaian jalan pesisir di luar bandar.
“Kita tidak mahu projek ini terus menjadi sebutan rakyat dan cemuhan kerana menanti projek yang dalam kategori sakit ini,” katanya ketika melawat perkembangan projek itu, semalam.
Turut hadir, Menteri Muda Pemodenan Pertanian, Tanah Adat dan Pembangunan Wilayah Sarawak, Datuk Dr. Abdul Rahman Ismail dan Timbalan Residen Bahagian Limbang, Sebi Abang.
Justeru, beliau meminta kerjasama semua pihak agar projek yang dinantikan rakyat dan wakil rakyat dapat disiapkan segera.
Projek jalan raya dari Buang Abai hingga ke Sungai Poyan menelan kos RM64 juta dan dijangka siap pada Oktober 2021.
Projek itu merupakan kesinambungan daripada projek jalan raya yang menghubungkan Jalan Persekutuan ke Meritam (fasa satu), Meritam ke Buang Abai fasa kedua, ketiga dan keempat dari Buang Abai ke Sungai Poyan yang keseluruhannya sejauh lebih 20 kilometer.
Selain menghubungkan kampung pesisir sungai, Hasbi memberitahu, jalan itu juga akan membuka jalan baharu serta rangkaian penghubung ke negara jiran.
Katanya, segala utiliti dan bahan binaan yang masih berada di tapak projek perlu dipindahkan segera oleh pihak berkaitan bagi memastikan projek yang kini memasuki 60 peratus pembinaan tidak akan mengambil masa lama untuk disiapkan.
Hasbi juga mahu agar pemantauan rapi dapat diberikan terhadap projek ini oleh pihak bertanggungjawab termasuk Pejabat Residen Bahagian Limbang.
Oleh Adeng Edrus