

KABONG: Polis menahan dua lelaki dan merampas dua batang kayu belian dalam siasatan kes kecurian bahan binaan di sebuah rumah di Lot Baru, Kabong, susulan laporan dibuat pada 12 November lalu.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew ManggIe berkata, siasatan bermula selepas pengadu, seorang wanita berusia 31 tahun, menerima makluman daripada jirannya pada 16 Oktober lalu yang melihat seorang lelaki berhenti di hadapan rumah bapanya sebelum mengambil beberapa batang paip dan kayu belian.
“Hasil pemeriksaan di lokasi, pengadu mendapati empat batang saluran paip berwarna putih dan empat batang kayu belian berukuran 18 kaki telah hilang, dengan anggaran kerugian sebanyak RM2,512,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Susulan laporan itu, sepasukan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Daerah (BSJD) Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok melakukan tindakan lanjut dan berjaya menahan dua lelaki di dua lokasi berasingan.
Suspek pertama, lelaki berusia 44 tahun dari Kampung Kabong yang mempunyai dua rekod lampau berkaitan kesalahan jenayah, ditahan pada 12 November di sebuah rumah tidak bernombor di Kabong.
Saringan awal air kencing mendapati suspek positif dadah jenis amphetamine dan methamphetamine.
Suspek kedua, lelaki berusia 62 tahun dari Saratok yang bekerja sebagai pekebun sawit dan tidak mempunyai rekod lampau, ditahan sehari selepas itu di Kampung Kabong.
Pada 13 November, hasil maklumat dan tunjuk arah kedua-dua suspek, polis merampas dua batang kayu belian berukuran 18 kaki di hadapan sebuah rumah di Kampung Hulu, Kabong.
Mathew berkata siasatan mendapati suspek pertama mengaku mencuri dua batang kayu belian tersebut seorang diri untuk mendapatkan wang membeli bekalan dadah.
“Suspek mengaku menjual kayu belian itu kepada seorang kenalannya, iaitu suspek kedua, dengan harga RM70 sebatang,” jelasnya.
Polis kini meneruskan siasatan bagi mengenal pasti kemungkinan pembabitan kedua-dua suspek dalam kes-kes kecurian lain di sekitar kawasan tersebut.
Mathew menegaskan pihaknya komited memastikan keselamatan komuniti terjamin dan mengekang aktiviti jenayah termasuk kes kecurian harta benda.
Kes disiasat di bawah Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.
Oleh Adi Safarman