
KUCHING: Program Transformasi Jambatan Luar Bandar (PTJLB) yang dilaksanakan oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) Sarawak terus menjadi pemangkin utama dalam memperkukuh jaringan akses dan keselamatan penduduk luar bandar di seluruh negeri ini.
Setakat ini, sebanyak 27 jambatan telah ditender dan lima jambatan sedang dalam pembinaan, melibatkan kawasan Kuching, Serian, Kapit, Miri, Sibu dan Sarikei, di bawah pelaksanaan strategik JKR Sarawak.
Timbalan Premier Sarawak, Datuk Amar Douglas Uggah Embas, berkata pelaksanaan program tersebut mencerminkan komitmen berterusan kerajaan negeri dalam memperkasa pembangunan luar bandar, sejajar dengan hasrat untuk memastikan rakyat menikmati kemudahan infrastruktur yang lebih selamat, moden dan mampan.
“Program Transformasi Jambatan Luar Bandar ini adalah antara langkah penting kerajaan untuk menggantikan jambatan-jambatan uzur serta menaik taraf struktur sedia ada demi keselamatan dan kesejahteraan rakyat,” katanya.
Tambah beliau, usaha ini turut menyokong aspirasi Strategi Pembangunan Pasca COVID-19 2020 (PCDS 2030), yang menekankan keseimbangan pembangunan antara kawasan bandar dan luar bandar serta memperkukuh jaringan logistik negeri.
JKR Sarawak melalui Program Transformasi Jambatan Luar Bandar terus memperluas pelaksanaan projek-projek infrastruktur asas secara berfasa, dengan tumpuan terhadap peningkatan kualiti reka bentuk, daya tahan struktur dan pematuhan kepada standard keselamatan semasa.
Dalam kenyataan yang dikeluarkan oleh Cawangan Komunikasi Korporat JKR Sarawak, pihak jabatan menegaskan bahawa pelaksanaan PTJLB bukan sekadar menaik taraf kemudahan fizikal, tetapi turut memperkukuh kesejahteraan sosial dan ekonomi penduduk luar bandar melalui peningkatan akses kepada pendidikan, kesihatan dan peluang ekonomi.
“Inisiatif ini adalah bukti nyata komitmen JKR Sarawak dalam membina infrastruktur yang bukan sahaja berfungsi, tetapi juga memberi impak langsung kepada kualiti hidup rakyat luar bandar,” menurut kenyataan itu.
Dengan slogan ‘Kami Bina Demi Anda’ (We Build For You), JKR Sarawak terus memperkukuh peranan sebagai agensi pelaksana utama infrastruktur negeri, memastikan setiap projek yang dirancang membawa manfaat menyeluruh kepada rakyat di semua pelosok Sarawak.