KUCHING: Disebabkan hujan turun dengan lebat dan tidak berhenti-henti di kawasan hulu Batang Rajang dan pertembungan air pasang dari laut, paras air di beberapa kawasan rendah di sekitar Sibu, Kanowit, Song dan Kapit naik dan melimpahi tebing.
Pengerusi Lembaga Sungai-Sungai Sarawak, Murni Suhaili berkata keadaan air yang melimpahi tebing sungai juga menyebabkan sebahagian laman rumah kampung, rumah kedai dan rumah panjang yang didirikan di tebing sungai ditenggelami air khususnya di sekitar bandar Kapit, Kanowit dan Sibu.
“Disebabkan keadaan tersebut, semua pengguna sungai, pemilik, juragan, agen, operator bot/kapal dan masyarakat perkapalan secara keseluruhannya dengan ini dinasihati agar memandu bot masing-masing dengan lebih berhati-hati dan memperlahankan kelajuan khususnya semasa melalui kawasan perkampungan dan kawasan kediaman.
“Kesukaran lain dijangka ditempuhi oleh pengguna sungai ialah keadaan cuaca berkabus, serpihan kayu (debris) hanyut, air deras di luar jangkaan dan jarak penglihatan yang terhad,” katanya dalam satu kenyataan media, semalam.
Beliau berkata jika terpaksa berlayar dalam keadaan hujan, semua juragan dinasihatkan supaya memasang lampu pelayaran.
“Pihak Lembaga Sungai-Sungai Sarawak akan menghebahkan melalui media cetak atau elektronik serta mengeluarkan notis atau arahan kepada semua pengguna sungai sekiranya keadaan menjadi lebih teruk.
“Pemilik Kolam Balak dan Kilang Papan (Sawmill) yang beroperasi di tebingan sungai juga dinasihatkan supaya mengawasi kayu balak dan sisa-sisa buangan industri dari kilang masing-masing daripada hanyut dibawa arus deras yang boleh membahayakan pelayaran dan kawasan kediaman,” ujarnya.
Beliau menambah bot-bot penumpang sekali lagi diingatkan supaya dilengkapi peralatan keselamatan yang mencukupi sepanjang masa untuk kegunaan segera jika berlaku kecemasan.
“Pegawai Penguatkuasa Lembaga Sungai-Sungai Sarawak akan melakukan pemeriksaan ke atas peralatan keselamatan dalam bot penumpang dari semasa ke semasa dan kita memohon kerjasama daripada semua pihak berhubung perkara ini.
“Penumpang bot terbuka pula khususnya kanak-kanak sekolah yang dibekalkan dengan jaket keselamatan oleh Jabatan Pelajaran dinasihatkan agar sentiasa menggunakan jaket keselamatan semasa berada di dalam bot.
“Para penumpang bot juga dinasihatkan agar sentiasa berhati-hati semasa menaiki atau menuruni bot penumpang kerana sebahagian besar jeti penumpang di sepanjang sungai ditenggelami air dan licin akibat hujan atau banjir,” ujar beliau.
Beliau juga berkata bagi bot-bot yang bertambat di waf, terminal atau jeti dinasihatkan agar diawasi sepanjang masa dan seboleh-bolehnya ditambah tali ikatannya untuk memastikan ia tidak putus akibat arus yang dijangka lebih deras dari keadaan biasa.
“Penduduk yang tinggal di sepanjang sungai juga diingatkan agar sentiasa berwaspada khususnya tidak membiarkan anak-anak bermain di luar rumah tanpa pengawasan.
“Mereka juga perlu sentiasa memantau perubahan kepada struktur tebing sungai dan berpindah ke kawasan yang lebih selamat jika keadaan tebing sungai hendak runtuh dan boleh membahayakan rumah kediaman masing-masing atau menerima arahan untuk berbuat demikian daripada pihak yang bertanggungjawab,” kata Murni.