

MIRI: Sebuah kereta musnah terbakar dalam kejadian di Kampung Pujut, Tanjung Batu di sini semalam.
Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung insiden itu pada 11.14 malam.
Katanya, sepasukan anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Lopeng bergegas ke lokasi dan tiba empat minit kemudian.
“Kebakaran melibatkan keseluruhan kenderaan dengan anggaran kemusnahan 100 peratus,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurutnya, pasukan bomba bertindak memadam kebakaran menggunakan satu aliran salur bantu mula dengan sumber air dari pam jentera.
“Api berjaya dikawal dan operasi ditamatkan sepenuhnya pada 11.45 malam. Tiada mangsa dilaporkan terlibat,” ujarnya.
Punca kejadian serta jumlah kerugian masih dalam siasatan.
Oleh Liong Chai Ling