Kebakaran belukar 1.2 hektar di Tanjung Bijat berjaya dipadam

Facebook
WhatsApp
KEBAKARAN belukar melibatkan kawasan seluas kira-kira 1.2 hektar di Tanjung Bijat berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba hari ini. Foto: BBP Sri Aman

LINGGA: Kebakaran belukar melibatkan kawasan seluas sekitar 1.2 hektar di Tanjung Bijat berjaya dipadam sepenuhnya oleh pasukan bomba hari ini.

Menurut kenyataan Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Sri Aman, pihaknya menerima laporan kejadian pada 12.53 tengah hari sebelum sepasukan anggota bergerak ke lokasi yang terletak sekitar 49 kilometer dari balai.

Operasi diketuai PBK I Mohd Fadhli Buyong dengan kekuatan anggota menggunakan sebuah jentera Fire and Rescue Tender (FRT) dan sebuah jentera Perkhidmatan Penyelamatan Perubatan Kecemasan (EMRS) bagi menjalankan kerja-kerja pemadaman.

Setibanya di lokasi, pasukan operasi mendapati kebakaran belukar benar-benar berlaku seperti yang dilaporkan pengadu.

Pasukan yang lengkap dengan peralatan perlindungan diri (PPE) kemudian menjalankan penilaian keadaan sebelum bertindak menggunakan satu unit pam angkut GP10/10.

Operasi pemadaman turut melibatkan pemasangan hos hantaran sepanjang kira-kira 400 kaki, satu ‘dividing breeching’ dan dua nozel dengan menggunakan sumber air terbuka dari parit berhampiran.

Hasil tindakan pantas pasukan bomba, keseluruhan kawasan terbakar seluas 1.2 hektar berjaya dipadam sepenuhnya dan tiada agensi lain dilaporkan terlibat dalam operasi tersebut.

Bagaimanapun, pasukan berdepan beberapa cabaran termasuk akses ke lokasi yang sempit sehingga tidak dapat dilalui jentera berat, selain sumber air yang terhad kerana hanya bergantung kepada parit berhampiran.

Operasi pemadaman diteruskan sehingga kebakaran berjaya dikawal dan dipadam sepenuhnya.

Oleh Adi Safarman

Empat rumah terbakar di Uma Badeng

BELAGA: Empat rumah kayu di Uma Badeng, Sungai Asap, terbakar dalam kejadian pagi ini. Menurut Pusat Gerakan Operasi Jabatan Bomba