MUKAH: Projek Rakyat berhubung Model Penyaliran BioGas Termuni (MPBGT) daripada Sisa Cecair Sagu akan dibangunkan di Kampung Tabo dekat sini.
Menurut kenyataan media Craun Research Sdn Bhd, kerja pembangunan dijangka bermula pada Oktober ini. Kenyataan media tersebut dikeluarkan sempena lawatan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Pehin Sri Abdul Taib Mahmud, ke Loji Rintis Rawatan Sisa Cecair Sagu (LRRSCS) di Kampung Tabo di sini, semalam.
Sebelum ke loji tersebut, Tun Taib menghadiri taklimat mengenai projek tersebut yang diadakan di Dewan Serbaguna Kampung Teh oleh Pegawai Eksekutif Craun Reserch Sdn Bhd (CRAUN), Zaidell Hussaini.
Projek MPBGT yang bakal dibina itu adalah kesinambungan daripada LRRSCS dan CRAUN sekali lagi diberi kepercayaan untuk membangunkan projek rakyat berkenaan.
Difahamkan melalui projek tersebut, biogas yang dijana akan diedar sebagai sumber gas memasak alternatif hijau, lestari dan lebih murah berbanding gas komersil LPG.
Apabila siap kelak, ia adalah untuk kegunaan masyarakat luar bandar khususnya penduduk di Kampung Teh dan Kampung Tabo Mukah sebagai pemulaan.
Projek itu merupakan salah satu usaha Kerajaan Sarawak ke arah meningkatkan taraf dan kualiti hidup masyarakat luar bandar dengan fasiliti moden setara dengan kawasan bandar.
Sementara itu, LRRSCS melibatkan CRAUN adalah untuk memanifestasikan keprihatinan Kerajaan Sarawak terhadap kebajikan dan keselamatan rakyat sebagai jalan penyelesaian secara bersepadu ke atas pencemaran alam sekitar yang berpunca daripada sisa buangan sagu.
LRRSCS mampu mengurangkan kesan pencemaran alam sekitar dan pada masa yang sama mampu menjana pendapatan tambahan melalui produk tambah nilai daripada sisa buangan sagu.
Dan usaha itu dipercayai dapat meningkatkan nilai rantaian sagu serta menyumbang kepada kesejahteraan dan peningkatan taraf hidup penduduk luar bandar.
Projek loji rintis (LRRSCS) yang terletak di Kampung Tabo Mukah dibangun oleh CRAUN melalui usaha sama dengan Nitsei Sago Industris Sdn Bhd dan mula beroperasi pada Mei 2019 dan yang pertama di Malaysia.
Yang di-Pertua Negeri diiringi oleh Presiden Persekutuan Persatuan Melanau Sarawak ,Tan Sri Dr. Muhammad Leo Toyad Abdullah pada lawatan tersebut.
Turut hadir, Ahli Dewan Undangan Negeri Balingian, Abdul Yakub Arbi dan Residen Bahagian Mukah, Hamdiah Bakir.
Oleh Henry B Siyu