Imej fail sebuah helikopter Huey Tentera Udara Filipina. Foto AFP
MANILA: Sebuah helikopter Tentera Udara Filipina (PAF) yang dikerahkan untuk menilai kerosakan selepas Taufan Tino melanda dilaporkan mengalami “insiden udara” pada Selasa petang di wilayah Agusan del Sur, Mindanao, lapor Agensi Berita Filipina (PNA).
“PAF mengesahkan bahawa satu daripada helikopter ‘Super Huey’ miliknya mengalami insiden udara hari ini, 4 Nov 2025, berhampiran kawasan Batalion Infantri ke-60 di Agusan del Sur,” menurut kenyataan pasukan itu.
Pesawat itu merupakan antara empat helikopter yang berlepas dari Davao dan sedang menuju ke Butuan City untuk melaksanakan misi analisis kerosakan pantas (RDANA).
PAF berkata komunikasi dengan helikopter berkenaan terputus, menyebabkan operasi mencari dan menyelamat (SAR) segera dilancarkan. Tiada butiran lanjut diperoleh setakat ini.
Siasatan menyeluruh sedang dijalankan bagi mengenal pasti punca kejadian.
“PAF menumpukan sepenuh usaha kepada operasi SAR yang sedang dijalankan,” menurut kenyataan itu.
“Kami berdoa agar juruterbang dan kru yang terlibat dalam nahas udara ini selamat.”– BERNAMA-PNA