Skip to content

UTUSAN SARAWAK

SUMBER MAKLUMAT ERA BAHARU

Primary Menu
  • LAMAN UTAMA
  • IKLAN
  • SEMASA
  • WILAYAH
    • Selatan
    • Tengah
    • Utara
  • TEMPATAN
  • NASIONAL
  • INSPIRASI
  • KESIHATAN
  • ADVERTORIAL
  • RENCANA
  • TEKNOLOGI
  • PENDIDIKAN
  • BISNES
  • MAHKAMAH
  • JENAYAH
  • KEMALANGAN
  • KEBAKARAN
  • KOLUM
  • GLOBAL
  • SUKAN
  • WBS
  • Home
  • PENDIDIKAN
  • Tiga graduan unggul Unimas terima Anugerah Pingat Diraja di Konvokesyen ke-29
  • PENDIDIKAN

Tiga graduan unggul Unimas terima Anugerah Pingat Diraja di Konvokesyen ke-29

Utusan Sarawak 1 day ago
TAHNIAH… Tiga graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mencipta sejarah peribadi apabila menerima Anugerah Pingat Diraja sempena Majlis Konvokesyen Unimas ke-29 yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), hari ini. Foto UKAS

KOTA SAMARAHAN: Tiga graduan Universiti Malaysia Sarawak (Unimas) mencipta sejarah peribadi apabila menerima Anugerah Pingat Diraja sempena Majlis Konvokesyen Unimas ke-29 yang berlangsung di Dewan Tunku Abdul Rahman Putra (DeTAR Putra), hari ini.

Shaashita Ramarau, 23, dari program Perakaunan, Nur Hanis Fakhrul Nizam, 23, dari Pahang yang menamatkan pengajian dalam bidang Kaunseling serta Nur Farhanah Rashdan, 22, graduan Kerja Sosial dari Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan (FSSK).

Ketiga-tiganya bukan sekadar cemerlang dalam akademik, malah menyerlah sebagai individu berdisiplin, berwawasan dan mempunyai semangat juang tinggi mewakili wajah baharu generasi graduan Unimas yang berdaya saing.

Bagi Shaashita, kunci utama kejayaan adalah disiplin dan tidak mudah berputus asa dalam menghadapi cabaran dunia universiti.

“Universiti menguji kita dari segi mental, fizikal dan emosi. Kalau kehidupan peribadi tidak seimbang, pelajaran pun akan terjejas.

“Jadi penting untuk bangun setiap hari dengan semangat baharu dan teruskan rutin dengan tekun,” katanya.

Shaashita bercita-cita untuk menyambung pengajian ke peringkat lebih tinggi dan seterusnya membina kerjaya sama ada di firma antarabangsa, institusi kewangan atau menubuhkan syarikat sendiri bagi menyumbang kepada masyarakat dan negara.

Bagi Nur Hanis Fakhrul Nizam, penerimaan anugerah ini merupakan penghargaan tertinggi buat kedua ibu bapanya yang menjadi sumber kekuatan sepanjang pengajian.

“Saya datang jauh dari Pahang ke Sarawak, dan ini kali pertama ayah saya menjejakkan kaki ke universiti.

“Anugerah ini saya dedikasikan kepada mak ayah dan keluarga,” katanya.

Anak sulung daripada enam beradik itu mengakui menempuh pelbagai cabaran termasuk menyesuaikan diri semasa pandemik COVID-19.

Beliau kini merancang untuk menyambung pengajian di peringkat sarjana di Unimas.

Sementara itu, Nur Farhanah Rashdan, 22, yang berasal dari Semenanjung, aktif dalam pelbagai kegiatan kepimpinan sepanjang pengajian dan kini menjadi inspirasi kepada rakan-rakan mahasiswa.

“Sejak kecil saya dididik dengan nilai kepimpinan oleh ibu bapa.

“Bila datang ke Sarawak, saya belajar menyesuaikan diri dengan budaya tempatan dan menjadi lebih matang dalam memimpin,” katanya.

Bekas Presiden Persatuan Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan itu juga aktif dalam program berperingkat kebangsaan dan antarabangsa.

Nur Farhanah bercita-cita menyambung pengajian dalam bidang Psikologi di luar negara dan mahu terus berkhidmat sebagai sukarelawan di bawah Kementerian Perpaduan Negara serta Kementerian Belia dan Sukan.

Kejayaan tiga graduan ini membuktikan bahawa kecemerlangan tidak datang bergolek, sebaliknya menuntut usaha, disiplin dan sokongan keluarga.

Mereka bukan sahaja mengharumkan nama Unimas, malah menjadi inspirasi kepada generasi muda untuk terus berusaha mencapai impian masing-masing.

-UKAS

Tags: PENDIDIKAN

Continue Reading

Previous: Muzik jambatan perpaduan, bina keharmonian komuniti
Next: Semangat kebersamaan kunci pendidikan berkualiti

Arkib

  • TERMA & SYARAT
  • PENAFIAN
  • HUBUNGI KAMI
Utusan Sarawak By Warta Niaga Sdn.Bhd | MoreNews by AF themes.