KUCHING: Akibat takut dimarahi selepas balik lambat dari kedai membuatkan seorang kanak-kanak perempuan berumur 10 tahun berbohong kepada ibu dan bapanya mengatakan dia hampir menjadi mangsa culik.
Ketua Polis Daerah Padawan, Supritenden Aidil Bolhassan berkata, mangsa yang berjalan kaki kedai memberitahu bapanya bahawa dia dihampiri oleh tiga lelaki yang menaiki sebuah van berwarna putih.
“Menurut mangsa, salah seorang suspek telah keluar dari van terbabit dan mahu memberi gula-gula serta wang RM100 kepadanya.
“Namum begitu, kanak-kanak tersebut memaklumkan kepada bapanya yang dia enggan menerima wang tersebut lalu melarikan diri dan pulang ke rumah serta memberitahu bapanya berhubung kejadian tersebut.
“Bimbang dengan keselamatan anaknya, bapa kanak-kanak tersebut bertindak membuat laporan polis di balai polis berdekatan,” katanya.
Kata Aidil, hasil siasatan lanjut bersama pasukan pertugas Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Padawan dan pasukan D9 Ibu Pejabat Kontijen (IPK) terhadap mangsa, mengatakan bahawa terdapat seorang lelaki sedang memotong rumput di kawasan berhampiran ketika kejadian terbabit berlaku.
Bagamanapun siasatan di lokasi kejadian mendapati tiada kerja-kerja pemotongan rumput dilakuan dikawasan tersebut selain eberapa penduduk yang tinggal di kawasan berhampiran menyatakan kerja pemotongan rumput hanya dilakukan pada hari Ahad.
Temubual dengan saksi bebas menyatakan tidak nampak kejadian tersebut berlaku dan semakan rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di salah sebuah rumah berdekatan turut mendapati tiada sebarang kelibat mangsa serta van putih berkenaan berhenti di tempat kejadian.
“Berdasarkan bukti serta keterangan yang diperolehi di sekitar tempat kejadian, soal siasat lanjut dijalankan ke atas mangsa dan mangsa kemudian mengaku bercakap bohong kerana takut dimarahi balik lambat dari kedai selain memerlukan perhatian yang lebih dari kedua ibu bapanya,” kata Aidil.
Susulan itu, jelas Aidil, bapa kanak-kanak terbabit menarik balik laporan polis yang dibuat olehnya sebelum ini.
Oleh Connie Chieng