
SIBU: Timbalan Menteri Kesihatan Awam, Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Datuk Michael Tiang mengecam sekeras-kerasnya penyebaran foto palsu di media sosial yang kononnya menunjukkan keadaan Jalan Ling Kai Cheng rosak teruk dan berlumpur.
Menurut beliau, hantaran berkenaan bukan sahaja mengelirukan masyarakat malah boleh menimbulkan persepsi negatif terhadap projek naik taraf jalan yang sedang dijalankan serta pihak berkuasa tempatan yang memantau kerja tersebut.
“Foto yang tular itu bukan dari lokasi sebenar Jalan Ling Kai Cheng, malah berkemungkinan besar dihasilkan menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) atau telah dimanipulasi secara digital,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau menjelaskan bahawa kerja-kerja naik taraf jalan berkenaan sedang berjalan lancar dan hanya melibatkan penutupan separa pada waktu malam, sementara jalan itu masih boleh dilalui seperti biasa.
Beliau turut mengingatkan masyarakat supaya tidak mudah mempercayai atau menyebarkan maklumat yang belum disahkan, terutamanya kandungan yang berpotensi menimbulkan kekeliruan awam.
“Perbuatan mereka-reka serta menyebarkan maklumat palsu bukan sahaja menyesatkan orang ramai, malah boleh menjadi kesalahan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) dan Seksyen 505B Kanun Keseksaan,” tegasnya.
Dalam pada itu, Tiang menggesa orang ramai agar lebih bertanggungjawab dalam penggunaan teknologi AI, yang menurutnya harus dimanfaatkan untuk kemajuan, bukan disalahguna bagi tujuan penipuan atau manipulasi.
“AI ialah alat kemajuan, bukan senjata untuk penipuan. Gunakan teknologi dengan bijak dan beretika,” katanya.

Beliau turut merakamkan penghargaan kepada orang ramai atas kesabaran mereka sepanjang tempoh pembinaan, sambil memaklumkan bahawa projek naik taraf Jalan Ling Kai Cheng dijangka siap pada Januari 2026.
“Kami sedar sedikit kesulitan tidak dapat dielakkan, namun yakinlah usaha ini adalah demi menyediakan infrastruktur lebih selamat dan selesa untuk penduduk Sibu.
“Marilah kita bersama-sama menolak berita palsu dan terus menyokong pembangunan positif,” tambahnya.
Oleh Tarani Lanting