KABONG: Pergerakan Wanita Parti Pesaka Bumiputera Bersatu (PBB) Kabong harus mempergiatkan program turun padang bagi mendekati rakyat di peringkat akar umbi serta rakyat keseluruhannya.
Penolong Ketua Penerangan Pergerakan Wanita PBB Sarawak, Fridah Osman berkata mereka (Wanita PBB Kabong) diminta memperkuatkan persiapan dengan aktif turun padang menemui masyarakat demi menambah sokongan terhadap Gabungan Parti Sarawak (GPS).
“Kita harus peka dengan senario politik sekarang yang akan membolehkan kita menangkis taktik-taktik parti lawan yang dikhuatiri boleh menjejaskan keamanan dan perpaduan rakyat,” ujarnya dalam Program Ziarah Kasih di Kampung Baru dan Kampung Hilir Tengah Kabong semalam.
Turut hadir isteri Chee Kadir, Meryani Yasin dan Pemangku Ketua Wanita PBB Kabong Normah Ahmad.
Fridah yang juga Setiausaha Politik kepada Ketua Menteri Sarawak berkata, beliau meminta ahli parti mencari isu dihadapi rakyat termasuk keperluan, permintaan, permasalahan rakyat dan sebagainya serta sedia melaksanakan strategi menangani isu berkenaan di kawasan masing-masing.
Beliau turut mengingatkan agar ahli PBB tidak lagi perlu berasa selesa kerana senario politik sudah berubah.
“Urusan parti harus bersifat telus agar rakyat tahu agenda dan perjuangan parti untuk membela nasib mereka.
“Budaya turun padang perlu diteruskan untuk mendalami dan mengetahui keperluan dan masalah yang dihadapi rakyat,” ujarnya.
Dalam pada itu, Fridah turut menggesa agar Pergerakan Wanita PBB Kabong memulakan persiapan menghadapi Pilihan Raya Negeri (PRN) akan datang.
“Ahli kita perlu bersiap sedia dengan persiapan dan tugas kamu semua yang paling penting ialah memastikan kerusi ini kekal bersama kerajaan negeri GPS selepas pilihan raya (negeri) nanti,” katanya.
Beliau berkata kemenangan GPS di Kabong nanti akan menjadi satu lagi tambahan berharga kepada majoriti Kerajaan GPS untuk terus memerintah negeri Sarawak.
Sementara itu, Pemangku Ketua Wanita PBB Kabong Normah Ahmad berkata pendekatan membantu golongan memerlukan bantuan melalui Program Ziarah Kasih DUN Kabong oleh pihaknya itu adalah merupakan salah satu pendekatan untuk mengetahui, memahami serta menyelesaikan masalah penduduk akar umbi.
Wanita PBB Kabong katanya, sentiasa turun padang mendengar masalah dan membantu mereka yang memerlukan sama ada di kampung mahupun rumah panjang.
“Ini juga platform kami untuk mendekati masyarakat serta melihat masalah mereka dan cuba membantu dengan apa yang termampu,” ujarnya.
Oleh Adi Safarman