

LELAKI tempatan berusia 50 tahun ditahan dalam satu operasi khas Op Tapis dijalankan di sekitar Pantai Tanjung Kembang, Kabong, semalam. Foto IPD Saratok
SARATOK: Seorang lelaki tempatan berusia 50 tahun ditahan dalam satu operasi khas Op Tapis dijalankan oleh Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Saratok di sekitar Pantai Tanjung Kembang, Kabong, semalam.
Ketua Polis Daerah Saratok, DSP Mathew Manggie berkata operasi yang dijalankan antara 10.00 pagi hingga 11.00 malam itu diketuai oleh Inspektor Wealy James bersama pasukan Task Force Khas IPD Saratok.
“Hasil pemeriksaan ke atas seorang lelaki Melayu di lokasi berkenaan telah menemui satu paket plastik lutsinar berisi tujuh biji pil dipercayai Nospan di dalam beg pinggang miliknya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.
Menurut beliau, suspek kemudian dibawa ke Balai Polis Saratok untuk ujian saringan air kencing yang menunjukkan keputusan negatif terhadap sebarang bahan terlarang.
Suspek yang tidak mempunyai sebarang rekod jenayah lampau kini ditahan untuk siasatan lanjut di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.
Mathew turut menegaskan bahawa pihak polis akan terus mempergiatkan Op Tapis di kawasan berisiko sekitar Daerah Saratok bagi membanteras aktiviti penyalahgunaan dadah dan bahan terlarang.
Oleh Adi Safarman