KUCHING: Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) menerusi Bahagian Penguatkuasaan Jabatan Kastam Diraja Malaysia, Ibu Pejabat Kuching dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Ibu Pejabat Daerah Bau telah berjaya merampas minuman keras dianggarkan berjumlah RM190,743.65 termasuk cukai dalam satu operasi khas di Pekan Bau pada 30 Ogos, lalu.
Pengarah Kastam Negeri Sarawak Dato’ Sharifah Halimah Tuanku Taha dalam kenyataan media semalam memberitahu, dalam satu Operasi Khas Ambang Merdeka 2020 menyaksikan kolaborasi di antara Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching dan Ibu Pejabat Polis Daerah Bau, telah berjaya merampas sebanyak 7,111.22 liter minuman keras, dengan jumlah anggaran nilai barang sitaan bagi serbuan tersebut adalah sebanyak RM75,624.00 serta jumlah anggaran amaun cukai/duti kastam yang terlibat sebanyak RM115,119.65.
“Bertindak atas satu maklumat, sepasukan anggota Kastam dari Cawangan Operasi Darat Ibu Pejabat Kuching dan Polis Diraja Malaysia Cawangan Bau telah membuat serbuan dan pemeriksaan rapi ke atas sebuah premis yang disyaki menjual minuman keras belum lulus Kastam.
“Hasil pemeriksaan lanjut ke atas premis tersebut, pasukan telah menjumpai sebanyak 7,111.22 liter minuman keras, dengan jumlah dianggarkan bernilai sebanyak RM75,624.00 serta jumlah cukai terlibat dianggarkan berjumlah RM115,119.65,” ujarnya.
Tambahnya, barangan kes disita dan dibawa ke Stor Penguatkuasaan Demak Laut untuk simpan selamat dan siasatan lanjut.
“Tiga individu yang mengurus pengedaran dan penjualan minuman keras di premis terbabit turut ditahan untuk membantu siasatan,” jelasnya.
Minuman keras dijual secara terbuka dan diletakkan bercampur dengan minuman keras yang telah dibayar cukai. Pemeriksaan rapi ke atas minuman keras mendapati tiada stem cukai dilekatkan pada minuman keras tersebut. Pemilik premis juga cuba mengaburi pihak penguatkuasa dengan menyimpan minuman keras di disebelah premis yang disewa sebagai stor tertutup. Komoditi minuman keras pelbagai jenama tersebut merupakan stok yang baru tiba untuk bekalan dan pasaran di ambang merdeka sempena meraikan sambutan Hari Merdeka 31 Ogos 2020 di pekan Bau.
“Kes akan disiasat di bawah Seksyen 135(1)(d) Akta Kastam 1967, di mana jika sabit kesalahan, pesalah akan didenda tidak kurang dari 10 kali ganda amaun duti Kastam atau RM100,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar dan tidak melebihi 20 kali ganda nilai amaun duti kastam atau RM500,000.00 mengikut mana-mana amaun yang lebih besar, ataupun penjara tidak kurang dari enam bulan dan tidak melebihi lima tahun, atau kedua-duanya sekali,” katanya lagi.
JKDM menyeru kepada orang awam untuk memberi kerjasama dengan menyalurkan maklumat berkaitan sebarang aktiviti penyeludupan barang larangan seperti rokok, minuman keras, mercun dan dadah dengan menghubungi Talian Bebas Tol Kastam 1-800-88-8855 atau mana-mana Pejabat Kastam yang berhampiran di semua negeri.
Pihak JKDM juga memberi jaminan identiti setiap pemberi maklumat adalah dirahsiakan.
Oleh Nur Ain Otsman