
BAU: Polis Bau telah menahan seorang lelaki tempatan berusia 21 tahun yang dipercayai terlibat dalam sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal di sini.
Ketua Polis Daerah Bau, Superintendan Mohd Haide A. Rahman berkata, tangkapan tersebut dilakukan semalam kira-kira 3.50 petang semasa Op Lejang Khas di kawasan ladang kelapa sawit SALCRA Kampung Sebobok, Bau.
“Pasukan polis dari IPD Bau dengan bantuan pegawai BSJD ternampak suspek menunggang motosikal Yamaha 125Z berwarna hijau dengan kelajuan tinggi.
“Apabila diarahkan berhenti, suspek cuba melarikan diri ke arah jalan ladang SALCRA namun merempuh penghadang dan terjatuh.

“Dia kemudian cuba melarikan diri ke dalam semak berhampiran tetapi berjaya ditahan dengan segera,” katanya.
Hasil pemeriksaan mendapati polis menemui taji ayam, wang tunai dalam mata wang Indonesia dan Malaysia, serta sebuah motosikal yang disahkan dilaporkan dicuri lebih awal pada hari yang sama di Moyan Square, Batu Kawa.
Menurut Haide, suspek yang dikenali dengan gelaran ‘Bulat’ dari Kampung Opar dipercayai aktif mencuri motosikal di kawasan Bau sejak Julai lalu.

“Dengan penahanan suspek ini, Polis Daerah Bau telah berjaya menyelesaikan sekurang-kurangnya 10 kes curi motosikal,” ujarnya.
Beliau menambah, suspek didapati positif dadah jenis methamphetamine dan berada dalam keadaan khayal semasa disoal siasat.
Suspek juga mengaku telah mengambil dadah tersebut pada awal pagi hari kejadian.
Suspek kini ditahan untuk siasatan di bawah Seksyen 379A Kanun Keseksaan kerana kesalahan mencuri motosikal serta kesalahan memiliki senjata berbahaya.
Oleh Connie Chieng