SIBU: Seramai 32 pegawai dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) seluruh Sarawak telah menyertai Kursus Pengendalian Haiwan Berbisa (Ular).
Kursus selama tiga hari itu (1 hingga 3 September) telah berlangsung di BBP Sungai Merah dengan dikendalikan oleh tiga orang tenaga pengajar jemputan khas.
Mereka ialah PB Safiq Mohamad dari Akademi Wilayah Timur, Terengganu, PB Noremey Halim (Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kedah) dan Noorizun Kechik (JBPM Johor).
Ketua JBPM Zon 4 Sibu, Janggan Muling berkata, kursus tersebut julung kalinya diadakan di Sarawak bertujuan untuk meningkatkan tahap kemahiran anggota mengendalikan haiwan berbisa.
“Ia secara langsung akan meningkatkan keyakinan peserta ke tahap yang maksimum,” jelasnya kepada pemberita semalam.
Katanya, penganjuran kursus itu akan menjadikan pasukan bomba sebagai satu agensi yang professional dalam mengendalikan kes khidmat kemanusian di dalam negara ini.
“Dengan ini, saya ingin mengucapkan tahniah dan syabas kepada semua seramai 32 pegawai yang telah mengikuti kursus ini dengan jayanya,” ujarnya.
Oleh Akun Giman